BERMULA dengan memuat naik status di laman sosial yang beri ‘bayangan’ seolah-olah dirinya agak kecewa, penyanyi berbakat besar, Haqiem Rusli terus jadi buah mulut dalam kalangan netizen.
Terbaharu, tindakan seorang pengguna Twitter yang menyenaraikan sikap buruk Haqiem sejak kemenangannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada Februari lalu ternyata cukup mencuri perhatian ramai.
Memetik mStar online, rata-rata netizen nampaknya meluahkan rasa terkejut berhubung pendedahan itu dan beranggapan ia adalah satu bentuk siber buli terhadap penyanyi tersebut.
Bukan itu sahaja, mereka juga mula melahirkan kebimbangan terhadap Haqiem memandangkan penyanyi tersebut pernah mendedahkan dirinya mengalami kemurungan dan berhasrat untuk meninggalkan bidang nyanyian.
Baca: “Haqiem Kecewa, Kawan Baik Tikam Belakang” – Ibu
Enggan melatah dengan perkara tersebut, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli sebaliknya tampil bersuara bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh individu terbabit.
Haqiem menerusi sebuah entri di Twitter miliknya mengakui sebagai seorang manusia biasa dirinya memang tidak terlepas daripada membuat kesilapan.
Menerusi entri berkenaan juga, Haqiem dilihat turut mempersoal adakah kesalahannya terlalu besar sehingga dirinya dihukum sedemikian walhal dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kata-kata kesat terhadap peminat.
Meskipun mengakui terkilan dengan tuduhan tersebut, pelantun lagu Tergantung Sepi itu bagaimanapun memberitahu dia tidak menyimpan dendam dan percaya semua perkara yang terjadi itu akan berlalu.
Ujar penyanyi berusia 21 tahun itu lagi, dia juga telah memaafkan individu terbabit malah bersedia untuk bertemu dengannya bagi memperbetulkan salah faham yang berlaku.
Sebelum ini, Haqiem telah mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan bakal ‘berehat’ daripada media sosial dan memberi ‘bayangan’ seolah-olah dirinya akan bersara daripada bidang nyanyian.
Pun begitu, penyanyi itu menjelaskan bahawa dia hanya akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut pada Julai depan. – MYNEWSHUB.CC