ARAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim mengumumkan meninggalkan UMNO atas alasan hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti.
Ismail yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau memberitahu bahawa beliau kini merupakan calon bebas.
Bagaimanapun, Ismail turut membayangkan bahawa beliau akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam masa terdekat.
Pengumuman tersebut dibuat sendiri olehnya yang juga merupakan adik kepada Pengerusi Perhubungan Barisan Naional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, semalam.
“Secara rasminya saya sudah keluar UMNO dan BN untuk menjadi wakil rakyat Bebas dalam negeri ini.
“Keputusan ini dibuat atas beberapa faktor dan antaranya ialah saya sudah hilang keyakinan kepada pucuk kepemimpinan parti,” katanya dipetik laporan BH Online.
Jelasnya, keputusan untuk keluar dari parti berkenaan telah dipertimbangkan oleh dirinya sejak 10 tahun lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Ismail berkata, keputusan meninggalkan UMNO ini juga adalah demi kepentingan rakyat yang memerlukan beliau mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Pakatan Harapan.
“Saya perlu memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Pusat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Maka saya perlu seiringan dengan Kerajaan Pusat,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ismail berkata keputusan tersebut dibuat tanpa pengetahuan abangnya sampil menegaskan bahawa dia bukanlah “boneka” sesiapa seperti dititah raja Perlis.
Beliau juga berharap semua pihak dapat menerima keputusannya untuk meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM dapat diterima dengan hati terbuka.
“Saya bukan puppet (boneka) dan dia (Shahidan) nak tahu pasal apa? Melalui pengumuman ini secara tidak langsung beliau (Shahidan) akan tahu.
“Saya nak buktikan bahawa soal adik beradik tak timbul dalam politik. Saya berharap dengan keputusan ini semua pihak dapat menerima dengan lapang dada,” katanya.
Sekadar makluman, Ismail menyertai UMNO sejak tiga dekad lalau ketika beliau berusia 28 tahun dan pernah dilantik sebagai Pemuda UMNO Perlis, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau.
Pada pilihan raya umum yang lalu, Ismail mengekalkan kemenangan BN di DUN Tambun Tulang dan namanya disebut-sebut bakal menjadi menteri besar Perlis yang baharu selepas dicalonkan oleh abangnya.
Bagaimanapun, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akhirnya melantik ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar baharu negeri berkenaan. – MYNEWSHUB.CC