KOTA KINABALU – Polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencabul dua pelancong wanita asing ketika aktiviti renang di Pulau Sapi di sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata susulan laporan yang dibuat pada petang hari itu, suspek ditahan di kawasan Jesselton Point pada 10.50 pagi keesokannya.
“Mangsa berusia 27 tahun dan adiknya yang berumur 25 tahun mengunjungi Pulau Sapi untuk aktiviti renang dan snorkel, dan mendakwa dicabul suspek, yang juga pemandu bot pelancong, dan rakannya semasa mereka ‘belajar berenang’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek berumur 23 dan 25 tahun itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Chandra berkata setakat bulan ini, pihaknya menerima dua laporan berkaitan kes cabul pelancong asing yang melibatkan pemandu bot pelancong. – BERNAMA