CALIFORNIA – Ratusan kediaman kini berada dalam bahaya susulan empat kebakaran hutan di Utara California yang berlaku sejak semalam manakala jajaran taman negara di New Mexico mungkin terpaksa ditutup susulan satu kebakaran berikutan musim kemarau.
Menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran (Cal Fire), kebakaran terburuk dikesan di Lake County berhampiran Taman Negara Mendocino, 110 kilometer dari Sacramento yang sehingga kini telah memusnahkan 22 bangunan dan 4,654 hektar kawasan menjelang tengahari semalam.
Leftenan Corey Paulich dari Jabatan Sherif Lake County berkata, insiden berkenaan memaksa hampir 1,500 penduduk setempat berpindah.
Gabenor California, Jerry Brown turut mengisytiharkan darurat di California sejak Isnin lalu.
Menurut Cal Fire, lebih daripada 1,400 anggota bomba telah dikerah untuk memadam kebakaran itu.
Paulich berkata, Lake County kini memiliki sekurang-kurangnya satu kebakaran hutan yang membawa kemusnahan besar sejak empat tahun lalu.
“Saya tidak ingat jika ada mana-mana kebakaran besar sepanjang 19 tahun pertama berbanding apa yang kami alami sejak empat tahun lalu,” katanya.
Beliau bagaimanapun memberitahu, kebakaran yang bermula semalam itu terletak jauh dari kawasan kediaman orang ramai dan jika keadaan berkenaan berterusan, penduduk setempat akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing tidak lama lagi. – Reuters/BH ONLINE