PELAKON jelita, Fasha Sandha menyambut baik cara aktres, Nora Danish menamatkan persengketaan yang timbul selepas kes sindir menyindir antara mereka pada tahun lalu.
Fasha berkata, dia bersedia mohon maaf kepada Nora sekali gus meleraikan kemelut hubungan mereka yang bermasalah sejak bertahun-tahun lalu.
Ujarnya, keputusan itu perlu diambil demi kepentingan anak dan keluarga kedua-dua belah pihak dengan menyifatkan berdamai sebagai jalan terbaik kerana mahu masing-masing jalani kehidupan dalam suasana harmoni.
“Saya bersedia melakukannya atas sebab kekeluargaan memandangkan anak sulung Nora, Putera Rayqal Ramli Rizal Ashram adalah abang kandung kepada dua cahaya mata saya.
“Justeru, saya ambil keputusan untuk memohon maaf secara terbuka kepada Nora atas luahan hati saya di laman sosial mengenai isu yang terjadi pada majlis pertunjukan fesyen tahun lalu yang didakwa mengguris perasaannya.
“Bagi saya, berdamai adalah jalan terbaik kerana isu antara kami sudah berlarutan terlalu lama,” kata Fasha dipetik BH Online, hari ini.
Tambah Fasha, dia sudah matang dalam menilai setiap tindakannya dan keputusan itu dibuat demi kebaikan anak mereka yang sedang membesar.
“Apabila difikirkan semula, untuk apa kami bermusuh terlalu lama sedangkan anak kami mempunyai pertalian antara satu sama lain.
“Tidak elok jika mereka melihat hubungan kami berdua berterusan dilanda masalah. Saya tidak kisah memohon maaf, malah berterima kasih kepada peminat.
“Ramai sentiasa mendoakan kami supaya berbaik semula. Syukur kerana Allah memperkenankan doa itu dengan bantuan peguam kami,” tambah pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan itu.
Baca: Kemelut Antara Nora, Fasha Bakal Temui Titik Noktah
Dalam perkembangan lain, Fasha mengakui dia dan Nora ada hadir ke Pejabat Mediasi di Mahkamah Shah Alam pada minggu lalu.
Pun begitu, pelakon berusia 34 tahun itu memohon pengertian semua kerana tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. – MYNEWSHUB.CC