MELAKA — Seorang gadis maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas dihempap dahan pokok tumbang di Jalan Ayer Keroh Lama, Bukit Beruang di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa, Intan Syahira Ahmad Safri, 23, yang menunggang motosikal jenis SYM cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketika itu dia dalam perjalanan dari rumah sewanya di Bukit Beruang ke tempat kerja di sebuah kilang di Ayer Keroh dalam hujan lebat.
Mayat anak kedua daripada empat adik-beradik itu dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt. Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. — BERNAMA