SHAH ALAM – Persatuan Pemilik dan Penduduk Bukit Bayu, Seksyen U10 di sini menggesa pihak berwajib menyiasat kegiatan sebuah syarikat pemaju kerana didakwa meneroka satu-satunya kawasan hutan tanah pamah di Shah Alam yang terletak berdekatan perumahan itu.
Wakil persatuan, Datuk Fahriz Zaini, 40, berkata jika dibiarkan, aktiviti penerokaan tersebut boleh melenyapkan khazanah alam negeri selain mengganggu ekosistem hidupan liar memandangkan hutan berkenaan adalah sebahagian daripada hutan simpan kekal Bukit Cerakah (Taman Botani Negara).
Beliau berkata kerja-kerja penerokaan itu juga mencetuskan rasa bimbang penduduk apabila semakin banyak haiwan liar yang kehilangan habitat memasuki rumah mereka berikutan jaraknya hanya beberapa ratus meter dari kawasan hutan tersebut.
“Aktiviti penerokaan hutan itu setakat ini kami anggar mencapai keluasan 546 hektar. Ia disedari dimula pada awal Ramadan lalu namun dilihat semakin rancak dijalankan susulan beberapa letupan untuk memecahkan batu didengari sejak Isnin lepas.
“Kami tertanya-tanya tentang kegiatan syarikat pemaju itu kerana tiada sebarang papan tanda pembangunan dinaikkan di lokasi. Adakah penerokaan hutan tersebut yang dikatakan untuk pembinaan rumah berjalan secara sah atau atas tujuan mendapatkan kayu-kayan?” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Fahriz berkata , letupan itu juga dikhuatiri akan menyebabkan masalah hakisan tanah dalam jangka masa panjang berikutan ada antara kegiatan berkenaan dilakukan hanya berjarak 100 meter daripada rumah penduduk.
Susulan itu, pihaknya juga telah membuat laporan polis pada Isnin lepas termasuk mengemukakan aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Perhutanan Selangor pada hari sama.
Gesaan persatuan penduduk itu turut mendapat sokongan pertubuhan alam sekitar iaitu Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Global Environment Centre (GEC) dan Treat Every Environment Special (TEES).
Pengarah Eksekutif MNS, I.S Shanmugaraj berkata kedudukan hutan tanah pamah yang bersambung dengan Taman Botani Negara itu harus dilindungi daripada sebarang aktiviti penerokaan dan tidak dimajukan dengan pembangunan kerana ia amat kaya dengan flora dan fauna khususnya haiwan diancam kepupusan.
“Ini saja hutan tanah pamah yang ada di Shah Alam malah ia menjadi hutan tadahan hujan, habitat haiwan liar seperti tapir selain hutan yang kaya dengan sumber alam semulajadi serta kawasan rekreasi rakyat. Penerokaan ini harus dihentikan segera dan lindungi hutan ini,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan negeri melihat perkara ini dengan serius dan seboleh-bolehnya hutan tanah pamah di kawasan Bukit Bayu itu diwartakan supaya ia terus terpelihara.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi yang turut hadir pada sidang media berkenaan memberi jaminan akan meneliti lebih lanjut berhubung dakwaan penerokaan tersebut malah akan memohon kepada kerajaan negeri untuk mewartakan hutan itu sebagai hutan simpan kekal. – BERNAMA