PUTRAJAYA – Seramai 66,258 kariah masjid, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di seluruh negara akan menerima Bayaran Khas Aidilfitri berjumlah RM400 yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun individu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata mereka terdiri daripada 12,500 imam, 8,650 bilal, 3,950 guru takmir, 8,394 Tok Siak/Norja/Merbot, serta 32,764 guru KAFA akan menerima bayaran khas itu.
“Kos keseluruhan bayaran ini adalah sebanyak RM26.5 juta yang telah disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.
Lim berkata bersempena Hari Raya Aidilfitri, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan agar anggota perkhidmatan masjid dapat menikmati bayaran khas Aidilfitri, seperti yang diterima oleh warga perkhidmatan awam kerajaan Persekutuan.
Semalam, Lim mengumumkan kerajaan meluluskan pemberian sumbangan khas Aidilfitri sebanyak RM400 itu.
Beliau menjelaskan pembayaran itu tidak termasuk dalam pembayaran Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) (dahulunya dikenali sebagai BR1M) yang dibayar secara berasingan.
“Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan RM1.6 billion kepada hampir 4.1 juta penerima BSHR bermula 6 Jun.
“Semoga pemberian insentif ini sedikit sebanyak dapat membantu persediaan Hari Raya Aidilfitri oleh penerima di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA