SEMUANYA bermula apabila Hafreez Adam mengaku dirinya mencintai aktress, Zara Zya dengan setulus hati dan tidak pernah anggap faktor usia sebagai penghalang untuk mereka cipta keserasian.
Rentetan daripada kenyataan panas tersebut, pelakon yang sedang meningkat naik itu mengakui mempunyai rancangan untuk mengahwini buah hati kesayangannya itu.
Bagitupun, Hafreez atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan menyatakan dia tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya memberi tempoh setahun untuk mengenali hati Zara.
“Tipulah kalau tiada perancangan. Kami ada berbincang mengenai perkara itu tapi bukan secara serius. Kami mahu beri masa sekurang-kurangnya setahun untuk kenal dahulu hati budi masing-masing sebagai pasangan kekasih,” katanya dipetik Astro Gempak.
Tambah Hafreez lagi, andai perhubungan itu kekal ke peringkat yang seterusnya, dia tidak mahu melangsungkan pertunangan, sebaliknya ingin terus bernikah.
“InsyaAllah, kalau ada jodoh ke peringkat seterusnya, saya nak kahwin terus, tak nak ada majlis tunang. Saya berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik bagi hubungan kami ini semoga segalanya akan dipermudahkan,” kata Hafreez lagi.
Baca: Umur Bukan Penghalang Cinta Hafreez-Zara Zya
Juga: Zara Zya Akui Jalin Hubungan Dengan Hafreez Adam
Sementara itu diajak berkongsi mengenai perkembangan terbaru, Hafreez memberitahu dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi novel bertajuk Pencuri Cinta Kelas Satu.
Katanya, menerusi drama berkenaan dia digandingkan bersama pelakon cantik, Emma Maembong dan bakal ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi. – MYNEWSHUB.CC