PELAKON, Hairul Azreen mengakui tidak kisah dikecam netizen sebaliknya berasa bangga dapat mendidik anaknya, Yusuf Iskandar supaya berani melakukan aktiviti lasak.
Memetik BH Online, Hairul berkata, sebagai seorang bapa, dia amat menitikberatkan kemampuan diri dan cara didikannya itu sentiasa dipantau isterinya, Hanis Zalikha.
“Saya gembira dengan pendedahan yang diberikan kepada Yusuf. Saya ajar dia melompat sampaikan emak saya sendiri marah, tetapi Hanis ada untuk mengingatkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebagai langkah berhati-hati,” katanya.
Meskipun dia kurang berpengalaman memandangkan Yusuf adalah cahaya pertamanya namun Hairul berpuas hati apabila anak lelakinya itu membesar menjadi anak yang lasak.
Kecenderungan Yusuf itu juga membuatkan Hairul terfikir untuk meneroka lebih jauh potensi anaknya itu. Pada masa sama, Hairul turut bersyukur melihat perkembangan positif anaknya dalam pembelajaran.
“Dalam hal berkaitan akademik, saya serahkan tanggungjawab itu kepada Hanis. Saya lihat Yusuf cepat belajar. Tanpa saya sedar, dia sudah boleh mengenal abjad dan sekarang mula belajar mengira,” ujarnya.
Sementara itu ditanya mengenai perkembangan terbaru, Hairul dikatakan antara salah seorang pelakon yang menjayakan drama mini bertajuk Pelangi Cinta yang diarahkan Isma Yusoof.
Drama mini lima episod yang disiarkan TV3 pada setiap Isnin bermula 7 Mei itu menampilkan Mira Filzah sebagai Bunga, turut bergandingan dengan Syafiq Kyle, Shukri Yahaya dan Aiman Hakim Ridza. – MYNEWSHUB.CC