PARIS – Hakim Perancis menolak tuduhan rogol ketiga terhadap sarjana Islam ternama, Tariq Ramadan yang kini ditahan atas dua tuntutan rogol lain, kata peguamnya.
Warga Switzerland yang berusia 55 tahun itu berkata, beliau menjalin hubungan atas dasar rela dengan Mounia Rabbouj, seorang wanita Islam Perancis, yang mendakwa dirogol sembilan kali antara 2013 dan 2014, kata peguam Emmanuel Marsigny selepas perbicaraan di mahkamah Paris.
“Majistret mempertimbangkan, berikutan penjelasan daripada Ramadan dan beberapa dokumen yang dikemukakan, bahawa tidak ada keperluan untuk menyiasat Ramadan membabitkan wanita ketiga,” katanya.
Profesor di Universiti Oxford yang juga cucu kepada pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir, ditahan sejak Februari lalu atas dakwaan merogol dua wanita.
Hakim bulan lalu menolak membebaskan Ramadan dengan jaminan yang kini sedang menjalani rawatan di penjara akibat menghidap multiple sklerosis.
Dia menafikan sebarang salah laku dan menyaman salah seorang pendakwanya, Ayari kerana memfitnah. – AFP/BH ONLINE