DI bulan mulia ini, pastinya semua umat Islam akan berebut-rebut melakukan amal ibadat tetapi fitnah pula melanda diri pelakon Eyka Farhana apabila dituduh berkunjung ke kelab malam pada bulan Ramadan ini.
Beberapa hari lalu, Eyka telah memuat naik gambar ketika dia sedang menjalani penggambaran bagi drama berjudul Banteras.
“Saya tidak pergi kelab malam pada bulan Ramadan, saya tidak seteruk itu. Ia hanya penggambaran sebuah drama, ada babak berhibur di kelab malam.
“Namun pihak produksi pun tidak ke kelab malam sebenar, mereka hanya buat mock up set seperti dalam sebuah kelab sahaja,” katanya ketika dihubungi oleh pihak mStar Online.
Selepas memuat naik gambar itu, Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi memberitahu bahawa dia telah menerima kecaman yang teruk oleh netizen apabila disangka berkunjung ke pusat hiburan.
Bagaimanapun, pelakon muda berusia 23 tahun itu tidak menyalahkan netizen kerana kemungkinan salah faham itu datang daripada dirinya sendiri akibat tidak meletakkan penjelasan di ruangan caption.
“Saya ada hastag nama watak dan drama tapi mungkin sebab saya tidak jelaskan di kapsyen membuatkan netizen salah tafsir,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, pelakon filem Polis Evo itu turut berasa bersyukur kerana impiannya untuk berlakon bersama aktor idolanya, Khir Rahman telah menjadi kenyataan apabila drama berkenaan bakal disiarkan di Astro Ria tidak lama lagi.
“Seronok dapat berlakon Khir Rahman kerana dia banyak beri tunjuk ajar dan selama ini pun saya memang minat melihat lakonannya yang bersahaja,” tambahnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH