PENYANYI dan komposer terkenal, Asfan Shah menjelaskan perselisihan faham antara dirinya dengan pencipta lagu berbakat besar, Haqiem Rusli telahpun menemui titik noktah.
Menurut Asfan atau nama sebenarnya Norasfan Shah Shah Rudin, dia enggan perbesar perkara berkenaan malah lebih selesa ambil pendekatan untuk memaafkan Haqiem selepas penyanyi itu tampil memohon maaf kepadanya.
“Sejujurnya apa yang terjadi itu cuma salah faham dan tiada isu besar pun. Haqiem pun sudah minta maaf secara peribadi dengan menelefon saya dan kami sudah berbaik.
“Jadi kalau boleh saya tidak mahu lagi memanjangkan isu ini kerana apa yang terjadi adalah sudah diselesaikan dengan baik,” kata Asfan dipetik Astro Gempak.
Pun begitu, penyanyi lagu Fatamorgana Cinta itu berkata, apa yang menjadi isu sekarang adalah netizen kerana mereka lebih suka memanjangkan hal tersebut sedangkan masalah antara kami telah selesai dengan baik.
Baca:Â Haqiem Akui Terkilan, Mohon Netizen Henti Kecam
Terdahulu, Asfan meluahkan rasa kurang senangnya apabila Haqiem dikatakan menuduh Asfan menciplak lagu ciptaannya. Walau bagaimanapun, dakwaan itu telah ditepis oleh Haqiem.
Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli memberitahu dia tiada langsung niat mahu menuduh Asfan sebaliknya pandangannya itu telah disalah erti oleh beberapa pihak. –Â MYNEWSHUB.CC