SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan harga barangan keperluan dan makanan yang dijual di pasar tani seluruh negara sepanjang musim perayaan Aidilfitri, berpatutan dan kompetitif.
Menterinya, Salahuddin Ayub berkata sehubungan itu, kementeriannya akan memastikan barangan yang dijual di 732 pasar tani di seluruh negara itu bermutu dan berkualiti untuk kegunaan pengguna.
“Kita mahu 732 pasar tani itu berperanan sebagai pusat pengumpulan barangan keperluan dan makanan terutamanya kepada pengguna yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Dengan cara itu, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan kerana barangan pasar tani termasuk ayam, daging, ikan dan sayur yang ditawarkan jauh lebih segar dan dijual dengan harga yang berpatutan berbanding pasar lain seperti pasar raya, pasar besar dan kedai runcit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Jimat Belanja Aidifitri di Pasar Tani Seksyen 13 di sini, hari ini.
Turut hadir, exco Pertanian negeri Selangor, Ir. Izham Hashim dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Salahuddin berkata kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan peniaga pasar tani tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
“Selain pemantauan harga di pasar tani, kita juga mengharapkan kesan rantaian daripada sifar GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) yang telah dilaksanakan 1 Jun lepas akan turut memberikan pulangan faedah kepada rakyat.
“Tidak guna sekiranya kita perjuangkan untuk mansuh GST ini tetapi rakyat tidak mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai genap sebulan pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri semalam, Salahuddin menyifatkan pencapaian Dr. Mahathir setakat ini sangat membanggakan.
Beliau berkata tindakan perdana menteri yang berani membuat keputusan berhubung dasar kerajaan selain telah memenuhi beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan juga dilihat sebagai satu kejayaan.
“Saya juga yakin dengan pasukan kabinet baharu di bawah Tun Dr. Mahathir dan sekiranya anggota kabinet bermula dengan satu sikap dan sistem nilai yang menerapkan rasa jujur dan berintegriti, saya pasti kita (kerajaan hari ini) boleh pergi jauh,” tambahnya. – BERNAMA