PHNOM PENH – Satu serbuan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Kemboja terhadap perdagangan ibu tumpang haram di Phnom Penh telah mengesan seramai 33 wanita yang dibayar untuk melahirkan bayi kepada pasangan China, kata pihak polis semalam.
Lima orang wanita, termasuk seorang warga China, telah ditahan semasa operasi di ibu negara pada lewat kelmarin, kata Ketua Unit Antipemerdagangan Manusia Phnom Penh, Keo Thea kepada agensi berita AFP.
“Kami telah menemui 33 orang ibu tumpang, ada yang telah melahirkan dan ada yang masih hamil,” katanya sambil menambah bahawa wanita-wanita tersebut telah ditawarkan sehingga AS$10,000 (RM40,020) untuk melahirkan bayi kepada pelanggan dari China.
Pelonggaran dasar satu anak bagi setiap keluarga di China sejak dua tahun lalu telah mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap klinik kesuburan dengan anggaran 90 juta wanita kini layak untuk memiliki anak lain selepas peraturan itu dimansuhkan.
Bagaimanapun, khidmat ibu tumpang diharamkan di China sekali gus memaksa mereka yang berkemampuan untuk mendapatkan pilihan berpotensi dari luar negara.
Asia Tenggara telah lama menjadi destinasi ibu tumpang terkenal di peringkat antarabangsa kerana kos perubatan murah, kumpulan wanita muda yang miskin dan tiada undang-undang khusus tidak termasuk pasangan sejenis atau ibu tunggal.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perdagangan itu di negara-negara di rantau ini telah merosot berikutan beberapa siri skandal dan kritikan bahawa perniagaan tersebut mengeksploitasi wanita miskin.
Pihak berkuasa Kemboja mengharamkan amalan itu pada tahun 2016 selepas calon ibu bapa segera ini beralih ke negara miskin lain setelah pengharamannya di negara jiran, Thailand pada tahun sebelumnya.
Seorang jururawat Australia yang dipenjarakan selama 18 bulan kerana mengusahakan klinik ibu tumpang di Kemboja telah dijatuhkan hukuman berkuat kuasa pada bulan Januari lalu dalam satu kes besar yang menggambarkan peranan negara itu dalam perdagangan seumpamanya.
“Ini merupakan satu lagi kes ibu tumpang walaupun telah diharamkan,” kata Keo Thea sambil menambah bahawa wanita Kemboja akan dihantar ke Jabatan Hal Ehwal Sosial sementara menunggu siasatan, manakala lima suspek akan hadir di mahkamah untuk perbicaraan hari ini. – AFP/KOSMO ONLINE