PRIHATIN… Syarikat gergasi perabot antarabangsa dari Sweden, IKEA akan henti penjualan segala produk plastik pakai buang seperti straw, cawan dan beg pembeku, bermula 1 Januari 2020.
Langkah ini akan berkuat kuasa di semua cawangannya seluruh dunia dan ia sebagai sebahagian daripada usaha terbaharunya untuk menggalakkan kehidupan secara mampan, menurut satu kenyataan media IKEA semalam.
“IKEA akur bahawa plastik pakai-buang boleh membahayakan hidupan liar dan cemar laut serta saluran air jika tidak dibuang secara betul. Kami bertekad memainkan peranan dan bertanggungjawab,” menurut kenyataannya.
Pengumuman itu dikeluarkan sejajar dengan acara tahunan Hari Rekaan Demokratik diadakan di Almhult, Sweden, menyaksikan para pereka IKEA sendiri mempamerkan perabot rumah yang dibuat daripada barangan kitar semula.
Ia dianjurkan untuk bantu masyarakat agar hidup secara lebih lestari. Tahun ini IKEA mendedahkan perancangan untuk menjadi sebagai sebuah organisasi perniagaan yang “positif terhadap iklim” menjelang tahun 2030.
Ini merangkumi rancangan untuk membungkus produk dalam bahan yang dikitar semula atau boleh diperbaharui, dan meningkatkan pilihan berasaskan kepada tumbuh-tumbuhan dalam makanan yang dijual di gedung IKEA.
Buat masa ini, 60 peratus daripada barangan IKEA diperbuat daripada bahan-bahan yang boleh diperbaharui, manakala 10 peratus pula dibuat daripada barangan kitar semula, kongsi jurucakap IKEA kepada Reuters.
Malahan pihak pengurusan IKEA Rantau Asia Tenggara, pemegang francais yang memiliki dan mengendali semua gedung IKEA di seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand, akan turut sama dalam usaha mesra alam sekitar ini.
Barangan plastik pakai-buang yang akan dihentikan jualannya menjelang tahun 2020 termasuk straw minuman SODA dan SÖTVATTEN, beg beku FÖRNYBAR, kampit air batu ISIGA dan beg sampah FÖRSLUTAS.
“Ia memerlukan iltizam kuat untuk bina perniagaan mampan dan kami sedang menuju ke arah itu secara aktif dalam setiap fungsi dan aspek kehidupan harian,” kata pengarah kemampanan IKEA Asia Tenggara, Lars Svensson.
“Lebih utama lagi, kami menjemput para pelanggan kami untuk turut serta dalam usaha ini. Menerusi huraian yang kami tawarkan, kami berharap berjuta-juta lagi orang akan mengambil langkah-langkah kecil di rumah.
“Ia sekali gus diharap dapat menjimatkan tenaga, mengurangkan penggunaan produk tidak mesra alam dan mengitar semula bahan buangan, dan memulihara air,” jelas Svensson. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA