MARAN – Anggota Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib mengesahkan bahawa beliau akan bertanding jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini.
Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu juga memaklumkan beliau akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Maran yang setakat ini, akan dicabar oleh Timbalannya Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Ismail berkata ini merupakan kali pertama beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan MT walaupun mula menyertai UMNO pada tahun 1982 dan sering ‘menerima pelawaan daripada pimpinan parti’ untuk bertanding sejak penggal lepas.
“Bagaimanapun, semasa itu saya berasakan lebih ramai yang layak. Tapi mengambil kira situasi semasa, saya berasa sudah tiba masanya (untuk bertanding) bagi membolehkan lebih banyak sumbangan diberikan untuk mengatasi kelemahan yang ada.
“Saya benar-benar mahu berkhidmat untuk parti. Kalau dahulu, semasa UMNO kuat, mungkin ada yang cakap ini semua (bertanding) kerana kuasa…tapi bertanding dalam keadaan sekarang bermaksud bukan kerana kuasa, tapi kerana semangat dan perjuangan.
“Tidak ada apa yang hendak dikejar, melainkan kita sendiri yang perlu menyumbang kekuatan, tenaga dan roh perjuangan untuk tentukan masa depan dan hala tuju parti. Masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.
Ismail berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parlimen Maran di Bangunan UMNO di sini semalam, yang dihadiri kira-kira 4,000 penduduk setempat.
Beliau juga mengakui UMNO mempunyai ‘tugasan’ berat untuk membaiki parti, khususnya dalam mendapatkan kepercayaan daripada golongan generasi muda, yang memerlukan gandingan mantap golongan lama dan muda dalam parti.
“Pilihan raya lalu, kita dapati orang tua masih komited dengan Barisan Nasional (BN), tapi untuk saluran orang muda, banyak yang tidak lagi bersama kita. Ini peranan untuk pemimpin muda, bagaimana mahu menarik golongan muda,” katanya.
Ismail juga berharap semua anggota parti akan menggunakan pemilihan kali ini sebagai ruang meningkatkan semula kekuatan parti dan bukannya menjadikan ia sebagai ‘medan perpecahan’ dalam keterujaan mereka mahu memastikan calon pilihan mereka menang. – BERNAMA