KERAJAAN Terengganu buka ruang mahu bantu menyelesaikan masalah membabitkan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), dengan sedia bekerjasama bersama kerajaan pusat dan kontraktor dari China.
Menteri Besar, Prof. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan kerajaan pusat yang membuat pertimbangan semula berhubung projek berkenaan amat dihargai.
“Pada pertemuan pertama saya bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini juga turut berharap projek membabitkan kerajaan Terengganu seperti ECRL harus dibuat pertimbangan sewajarnya.
“Kita amat menghargai perkembangan terbaru mengenai projek ini,” katanya pada Berita Harian ketika membuat lawatan kerja di Tanah Bencah Setiu di Kampung Mangkuk, Permaisuri, petang semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak; Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri sedar terdapat masalah tertentu berkaitan projek itu yang menjadi kebimbangan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga pada kerajaan negeri dan pusat.
“Jika kebimbangan itu wujud kita perlukan rundingan, teliti semula dari segi kos, terma perjanjian, terma pelaksanaan projek dan kesan kepada masyarakat dan komuniti.
“Ini yang kita perlu lakukan bukan terus bertindak membatalkan sesuatu projek,” ujarnya.
Sementara itu, T7 Global Bhd. sedang menunggu keputusan perbincangan semula Kerajaan Pakatan Harapan berhubung projek berkenaan.
Memorandum persefahaman dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corp. Bhd. (EPIC) dan syarikat milik penuh Bumiputera, CMC Engineering Sdn. Bhd. telah dimeterai T7 Global Mac lalu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Projek ECRL akan diteruskan jika kerajaan dapat membuat rundingan semula bagi terma yang lebih memihak kepada negara.
Manakala, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan kerajaan sedang merundingkan semula projek kontroversi ECRL bersama China dengan harapan dapat mengurangkan kos projek berkenaan. – MYNEWSHUB.CC