KEJOHANAN berprestij Piala Dunia yang akan bermula kira-kira seminggu lagi menyaksikan negara-negara yang terlibat melakukan persiapan akhir mereka sebelum sepak mula 14 Jun ini.
Bagi pasukan pilihan, Argentina, perlawanan pemanas badan terakhir mereka sebelum berlepas ke Rusia adalah dengan menentang pasukan Israel, di Baitulmaqdis, pada Sabtu ini.
Bagaimanapun, perlawanan tersebut dilihat tidak akan berlangsung selepas Argentina mengambil keputusan membatalkan pertemuan dengan negara itu ekoran tekanan politik memuncak Israel-Palestin.
Menurut penyerang pasukan itu, Gonzalo Higuain, badan induk bola sepak Argentina telah membuat keputusan yang tepat berikutan tindakan Israel yang masih tidak henti menyerang Palestin.
“Mereka akhirnya melakukan perkara yang betul,” kata Higuain dalam satu temu bual dengan ESPN, mengesahkan laporan perlawanan itu dibatalkan.
Bagaimanapun, tiada sebarang reaksi awal daripada Persatuan Bola Sepak Israel atau ahli politik negara itu mengenai keputusan membatalkan perlawanan persahabatan tersebut.
Laporan dari negara itu juga menyebut bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menghubungi Presiden Argentina, Mauricio Macri memintanya supaya memujuk pasukan naib juara Piala Dunia 2014 itu untuk tidak membatalkan kunjungan mereka.
Radio Israel turut memetik seorang pegawai diplomatik di negara itu yang menyatakan peluang untuk perlawanan itu diteruskan adalah amat tipis.
Kunjungan juara dunia dua kali itu ke Israel menarik minat mendalam penduduk negara itu di mana rata-rata dari mereka tidak sabar untuk menyaksikan kehadiran bintang Barcelona, Lionel Messi.
Lapor AFP, rakyat Palestin bersorak meraikan pembatalan perlawanan itu di Gaza.
Malah, di Ramallah, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengeluarkan satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Messi dan rakan-rakan kerana membatalkan perlawanan itu.
“FA Palestin berterima kasih kepada pemain Argentina diketuai Messi kerana enggan dipergunakan pihak tertentu,” tulis kenyataan tersebut.
Manakala, pengerusi PFA, Jibril Raoub berkata, keputusan itu meningkatkan moral pasukan kebangsaan negara itu yang menganggap perkara ini sebagai satu kemenangan buat rakyat Palestin.
“Nilai, moral dan sukan meraih kemenangan hari ini dan kad merah dilayangkan kepada Israel menerusi pembatalan perlawanan itu,” ujarnya.
Perlawanan tersebut sepatutnya dimainkan di stadium di Barat Baitulmaqdis, hujung minggu ini namun mendapat tentangan besar-besaran dari rakyat Palestin.
Status Baitulmaqdis sangat sensitif. Israel menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka yang abadi dan tidak berbelah bahagi.
Palestin pula melihat bahagian timur bandar sebagai ibu negara masa depan Palestin, sekaligus berang dengan keputusan Israel untuk memindahkan perlawanan tersebut dari Haifa ke Baitulmaqdis.
Bulan lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menimbulkan kemarahan seluruh dunia apabila membuat keputusan untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitulmaqdis, dan mengiktirafnya sebagai ibu negara Israel. – MYNEWSHUB.CC/EZ