PUTRAJAYA – Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dalam masa terdekat untuk melaksanakan kajian kemungkinan bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin keadaan di kawasan runtuhan Highland Towers berada dalam keadaan mencolok mata sejak sekian lama terutama kepada penduduk di sekitarnya dan sehingga kini ia masih belum diselesaikan.
“Kawasan tersebut kini menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian dan sarang pencuri dan keadaan ini merisaukan penduduk sekitar,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang berkata pihaknya berharap dapat membangunkan semula kawasan Highland Towers itu yang merupakan tanah premium dan berharap harga tanah kawasan itu tidak terjejas ekoran insiden hampir 25 tahun lalu.
Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.
Zuraida berkata selain itu pihak KPKT akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara mengenai memberikan kelonggaran penarafan kredit bagi mengatasi masalah peratusan penolakan pinjaman perumahan yang tinggi di kalangan golongan B40 & M40.
“Perbincangan dijangka akan dilakukan selepas Aidilfitri kerana kita juga perlu mengambil kira pendapatan kedua dan ketiga dikalangan golongan tersebut bagi disekalikan dalam permohonan pinjaman perumahan,” katanya. – BERNAMA