RUMAH merupakan tempat yang paling istimewa buat seseorang dan kita sendiri pasti mahu memupuk rasa gembira setiap kali berada di dalam rumah sendiri.
Justeru, warna di setiap ruang rumah turut bawa peranan penting dalam ubah mood seseorang lebih-lebih lagi selepas seharian penat bekerja di pejabat.
Jom kita tengok warna apa yang sesuai digunakan di rumah mengikut keselesaan anda:
BIRU
Kebiasaannya warna biru digunakan di dalam bilik tidur kerana biru merupakan simbol ketenangan yang mana ia akan membantu seseorang itu untuk tidur dengan lebih lena.
Malah, ia juga merupakan salah satu warna yang menyejukkan kerana mampu untuk mengurangkan tekanan darah serta bantu memperlahankan pernafasan bagi keselesaan ketika sedang berehat.
Bukan itu sahaja, biru turut sesuai digunakan di ruangan pejabat namun ia kurang sesuai digunakan di ruang tamu atau dapur kerana akan membuatkan seseorang kurang berselera dan bertenaga atau akan menjadi lebih pasif.
KUNING
Selain biru, kuning juga sesuai digunakan di bilik tidur walaupun warnanya agak cerah tetapi ia boleh membangkitkan mood seseorang untuk lebih ceria serta aktif untuk berinteraksi.
Dalam masa sama, warna kuning turut boleh memberikan efek ruang lebih luas kerana menyalurkan pencahayaan yang baik. Oleh itu, anda perlu bijak menyesuaikan warna cat kuning dengan penggunaan perabot di dalam bilik.
HIJAU
Hijau sangat sinonim dengan warna alam semula jadi kerana ia mudah serasi serta sejuk.
Ruangan ruang tamu akan menyemarakkan suasana hangat jika dinding dicatkan dengan warna hijau kerana ia mampu mengeratkan hubungan antara keluarga.
Selain itu, hijau mampu bantu untuk mengurangkan tekanan dalam diri seseorang kerana ia merupakan simbol kesuburan. Dapur juga ruangan yang sesuai untuk digayakan kerana anda akan berasa tenang ketika sedang sibuk memasak untuk keluarga.
MERAH
Kajian mendapati bahawa warna cat dinding merah akan dapat meningkatkan adrenaline seseorang itu ke tahap yang paling tinggi. Ia turut membawa maksud mengujakan untuk memberi semangat untuk seseorang sekaligus mewakili suasana yang romantis.
Kebiasaannya pasangan pengantin akan memilih warna merah sebagai cat dinding di bilik kerana ia bertujuan untuk menghangatkan lagi rumah tangga yang dibina.
Namun jika penggunaan yang dipadankan tidak betul, ia mampu meningkatkan tekanan darah seseorang.
KELABU/ NEUTRAL
Warna neutral dari rangkaian putih, beige hingga ke tona lebih gelap seperti coklat dan kelabu merupakan warna yang dianggap selamat dan pada masa yang sama bersifat fleksibel.
Ini kerana ia mudah dipadankan dengan apa sahaja warna yang diinginkan. Warna neutral juga membuatkan ruang tampak lebih moden dan kemas.
Dengan pilihan tona yang pelbagai, warna neutral juga sesuai digunakan untuk semua jenis ruang dalaman.
UNGU
Selain kuning, ungu juga boleh dikaitkan dengan warna diraja serta ia turut melambangkan kemewahan. Warna ungu gelap akan menonjolkan rasa romantis, misteri dan aura mewah serta sofistikated.
Bagi pengunaan di bilik tidur, warna kombinasi ungu lembut sangat sesuai kerana ia sangat mendamaikan dan dapat membantu anda untuk lebih relaks.
MERAH JAMBU
Merah jambu semestinya sinonim dengan anak gadis kerana secara psikologi, ia memberikan rasa ketenangan, ceria serta kasih sayang.
Malah, ia boleh meredakan rasa marah dan agresif melalui kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat apabila seorang banduan dalam penjara berasa lebih tenang ketika berada di ruang yang dindingnya dicat dengan warna ini.
Namun jangan terlampau berlebihan kerana ia agak kurang sesuai bahkan turut akan kelihatan agak keanak-anakan serta membuatkan anda berasa lemah.
WARNA KOMBINASI
Anda perlu bijak dalam menyuai padan warna cat dinding di rumah kerana warna merupakan alatan yang akan memberi impak yang besar dalam sesebuah rumah.
Dengan penggunaan warna yang betul, ruangan kecil akan kelihatan luas kerana ia dapat membantu untuk menyerlahkan lagi perabot yang anda gunakan.
Bagaimanapun anda perlu hadkan penggunaan dalam tiga atau empat warna sahaja termasuk perabot supaya ruang akan kekal kelihatan kemas serta tidak terlalu berselerak. – MYNEWSHUB.CC/AH