ALOR SETAR – Sebanyak 18 jenis barang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di Kedah bersempena sambutan Aidilfitri pada 15 Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, R.Summugam berkata skim yang berkuat kuasa semalam sehingga 22 Jun depan itu menyenaraikan antaranya ayam hidup, daging lembu, telur ayam dan cili merah.
“Barangan lain termasuk bawang, kubis bulat, kelapa dan ikan kembung manakala harga tomato dan bawang putih menurun. Tomato dijual pada harga RM3 sekilogram kali ini berbanding RM4 pada SKHMP tahun lalu selain bawang putih RM8 sekilogram berbanding RM15 tahun lalu.
“Sementara itu, harga ikan selayang dan daging lembu tempatan naik manakala barangan lain masih pada harga yang sama. Harga daging lembu tempatan adalah RM34 sekilogram berbanding RM32 tahun lalu dan ikan selayang pula RM9 berbanding RM8 sebelum ini, ” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Summugam telah merasmikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Besar Alor Setar yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Datuk Johari Alifiah dan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Mohamad Fitri Hassan.
Sementara itu, Mohamad Fitri berkata sehingga kini peniaga dilihat akur dengan penetapan harga barangan kawalan sempena SKHMP apabila tiada aduan diterima oleh pihak KPDNKK melalui pemeriksaan yang dibuat semalam.
“Sebanyak 147 premis di seluruh Kedah termasuk 134 daripadanya adalah perniagaan runcit telah diperiksa melalui operasi yang dijalankan semalam namun tiada aduan direkodkan,” katanya. – BERNAMA