PEMIMPIN DAP Lim Guan Eng baru-baru ini berkata keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) umpama runtuhnya Tembok Berlin yang dibina komunis untuk memisahkannya dari Jerman Barat.
Guan Eng menjadikan simbol Tembok Berlin yang mewakili penindasan, kezaliman dan pemerintahan autoritarian itu untuk merujuk kepada pemerintahan UMNO, yang merupakan parti Melayu terbesar.
Kita mungkin tidak boleh membaca niat sebenar Guan Eng mengungkapkan perkara ini, tetapi sebenarnya beliau dan beberapa pemimpin DAP dan golongan liberal sudah biasa menggunakan simbol-simbol kejahatan ini untuk mengaitkannya dengan UMNO dan orang Melayu Islam.
Bagi mereka, ketuanan Melayu di Malaysia ini ialah sesuatu yang amat negatif, bersifat autoritarian malah fasis, hingga kedudukan istimewa Melayu selalu diungkapkan dengan cara sangat buruk.
Kita sudah melihat yang kaitan dengan Tembok Berlin ini tidak mencetuskan kegemparan dan kejutan di kalangan penyokong-penyokong PH kerana mereka juga melihat kepimpinan Melayu dengan cara negatif.
Sebelum ini, mereka mengaitkan menteri propaganda zaman Nazi, Joseph Goebbels dengan kempen penerangan UMNO semasa masih menjadi pemerintah beberapa tahun lepas.
Ini dilakukan sendiri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan mereka yang mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “Goebbels kecil.”
Mereka juga mengaitkan ucapan Najib dengan ucapan Hitler, memberikan tafsiran yang menunjukkan yang Najib mahu pemerintahan yang lama seperti yang diidamkan Hitler.
Mesej mereka ini semua sampai pada telinga-telinga penyokong mereka dan menguatkan lagi kebencian terhadap UMNO dan semua yang berkaitan Melayu termasuk agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.
Mereka memberi imej paling buruk pada pemimpin politik Melayu supaya mereka sendiri akan kelihatan baik atau sebagai pilihan yang lebih baik terutama pada bukan Melayu.
Kempen berterusan ini memburukkan nama Melayu hingga semakin ramai melihat Melayu sebagai satu yang jijik dan keji.
Apa yang mereka lakukan ini menunjukkan sikap rasis mereka kerana sangat mudah mengaitkan yang buruk dengan Melayu dan penyokong mereka pula dengan mudah menerimanya.
Setelah beberapa tahun kempen ini ditujukan kepada kepimpinan Melayu, sejak dua atau tiga pilihan raya umum terdahulu, mesej ini sudah tertanam dalam fikiran ramai kerana sudah disebut berulang kali.
Malangnya sesetengah orang Melayu sendiri sudah mempercayainya dan turut sama menyebarkannya di media sosial.
Inilah satu kempen jahat yang sudah merosakkan negara, membina persepsi dan pemahaman yang salah di kalangan rakyat hingga menggugat keharmonian negara. – Mynewshub.cc