AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil tindakan tegas terhadap pengguna media sosial yang keterlaluan.
Lapor Berita Harian, beliau berkata demikian ekoran sesetengah netizen memberi komen yang tidak sepatutnya terhadap peranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam proses pelantikan Peguam Negara.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap di Kedah dan bekas menteri pendidikan berkata, hak kebebasan bersuara perlu seiring dengan prinsip Rukun Negara dalam menjaga keharmonian sesebuah negara.
“Saya juga berpendapat bahawa kebebasan bersuara melalui pelbagai medium dan platform ketika ini sewajarnya dipraktikkan secara berhemah bersesuaian dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan yang menjadi amalan kita bersama selama ini.
“Sebagai rakyat yang menyatakan taat dan setia kepada Raja serta Negara, kita perlu yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam setiap proses serta keputusan yang membabitkan kepentingan negara, seruan ini adalah bertepatan dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara,” kataya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya lagi, pengguna media sosial sepatutnya mengeluarkan komen-komen secara berhemah dan tidak cepat menyalahkan sebahagian pihak.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, kelmarin.
Namun, kekecohan di media sosial menjadi āpanasā sebelum Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Thomas.
Nama Thomas telah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir MohamadĀ sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.Ā āĀ MYNEWSHUB.CC/MIZE