BONGKAR… Dalam arena politik tanah air, nama Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bukanlah asing dikenali sebagai ‘budak suruhan’ Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sesuatu isu kontroversi.
Siapa tidak lupa cerita bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan di Pulau Pinang itu sanggup fail kes 1MDB di mahkamah Amerika Syarikat dengan bantuan peguam Mahathir sendiri, Mathias Chang beberapa tahun lalu.
Meskipun kemudian bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ciptaan Mahathir atas sebab tidak jelas, Khairuddin tetap dianggap sebagai ‘orang kuat’ pengerusi parti itu yang kini menjadi semula perdana menteri.
Sebagai mana idolanya yang pernah dikutuk sebagai nyanyuk kerana suka buat pusingan U dalam sesuatu isu panas, Khairuddin bukanlah hebat mana waima sering pula dijadikan bahan jenaka netizen kerana gemar cakap putar belit.
Mudah cerita dalam bahasa kasar, bagi pengamat politik tempatan, imej Khairuddin disifatkan boleh diragui kerana komen beliau akan menjadi berbeza mengikut latar suasana dan licik dengan agenda tertentu seperti juga Mahathir.
Terbaharu, Khairuddin yang sudah ‘tenggelam’ tiba-tiba diperkatakan semula ekoran kenyataan beliau konon Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta jasa baiknya itu untuk bertemu Mahathir di Putrajaya pada 7 Jun lepas.
Walhal, Naib Presiden UMNO yang jalan tugas Presiden itu bukan ‘baik’ dengan Mahathir sejak sekian lama, malah pernah dijel tanpa bicara mahkamah pada era Reformasi 1998 kerana dianggap ‘orang’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dendam Ahmad Zahid dapat dilihat apabila secara terbuka menyindir keturunan Mahathir dari India ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, bahkan beliau bongkar perangai teruk tokoh itu yang memusuhi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru apabila Khairuddin buat tohmahan lawak konon Ahmad Zahid ‘terhegeh-hegeh’ mahu berjumpa Mahathir dengan perantaraan Khairuddin sendiri, ia bukan sahaja dianggap pelik tetapi ternyata ada agenda politik tersirat.
Khairuddin dilaporkan sebuah portal berita pada Khamis bahkan menuduh Ahmad Zahid sebagai ‘kaki penipu dan pembelit’ dalam isu pertemuan dengan Mahathir yang turut meminta wakil rakyat UMNO untuk menyertai PPBM.
Tidak hairanlah Ahmad Zahid tidak mengambil masa lama terus bidas kenyataan Khairuddin yang mendakwanya konon merayu supaya atur pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada bulan Ramadan lepas.
Menerusi posting dalam akaun sosial Twitter lewat Khamis, Ahmad Zahid berkata apa yang disampaikannya ketika Majlis Perjumpaan Khas dan Jamuan Hari Raya anjuran UMNO Pahang di PWTC pada Rabu lalu adalah benar.
“Saya berkata benar kepada ahli-ahli UMNO. Orang luar tidak perlu masuk campur dan membuat pelbagai andaian dan dakwaan apa yang saya sampaikan demi untuk kepentingan dan kebaikan UMNO. #PemilihanUMNO,” katanya.
Baca: “Saya Dijemput Untuk Jumpa Mahathir” – Dedah Zahid
Ahmad Zahid juga berkata individu yang menuduhnya konon terpaksa ‘merangkak’ untuk membuat rayu bagi dapat berjumpa Mahathir sebenarnya adalah penipu kerana orang itulah sendiri yang mengaturkan pertemuan tersebut.
“Saya tidak pernah merangkak dan bukan saya yang minta untuk berjumpa Mahathir. Khairuddin yang menuduh saya penipu itulah yang sebenarnya hubungi dan mengaturkan perjumpaan dengan Mahathir,” ujar Ahmad Zahid.
Beliau dengan lantang mendakwa Khairuddin sebagai penipu dan dikatakan bersumpah dengan nama Allah SWT di hadapan ramai pemimpin Kelantan di Kota Bharu lewat semalam bahawa ‘budak’ Mahathir itulah yang menipu.
Menurut Ahmad Zahid, sebelum bertemu Mahathir, beliau ada meminta kepada Khairuddin untuk membuat solat sunat istikharah terlebih dahulu agar diberikan hidayah Ilahi sama ada memang perlu berjumpa atau tidak.
“Khairuddin datang jumpa dengan saya untuk bertemu Mahathir. Tetapi saya minta untuk solat istikharah dulu. Apabila dapat petunjuk yang mengatakan saya wajar pergi, baharulah saya hubungi dia (Khairuddin) semula.”
Ramai penganalisis politik tanah air menyifatkan tindakan aneh Khairuddin itu mungkin ‘serangan’ oleh Mahathir sendiri bagi hasut ahli UMNO agar tidak pilih Ahmad Zahid sebagai presiden baharu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA