PASIR GUDANG – Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.
Beliau berkata, penawaran diri bagi jawatan tersebut membawa harapan agar ia memberi manfaat dan kebaikan kepada parti di saat kedudukan UMNO pada paras paling rendah.
“Tujuan penawaran dibuat kerana saya percaya ini merupakan salah satu perjuangan untuk pastikan UMNO kembali dapat sokongan rakyat, dan boleh (terus) memberi khidmat kepada orang Melayu dan masyarakat Malaysia amnya.
“Ini yang menjadi pegangan saya, maka sudah tentu saya tidak akan pinggirkan perjuangan itu semata-mata UMNO kalah atau menang,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini, Isnin.- mStar Online