BEBERAPA hari sahaja menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu, sebuah akhbar tempatan, Sinar Harian menyiarkan laporan eksklusif mengenai nasib pemandu teksi di Langkawi.
Terkenal dengan gaya pemberitaan cenderung kepada pihak Pakatan Harapan (PH), tabloid itu melaporkan ramai kalangan mereka konon marah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang gagal membela golongan tersebut selama ini.
Berita agak pelik ini walaupun fokus kepada pulau legenda Mahsuri itu yang kebetulan ditandingi oleh Pengerusi PH sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun seolah-olah merujuk senario kes tersebut melibatkan seluruh negara!
Kini selepas lebih sebulan berjaya ‘menawan’ Putrajaya, lain pula cerita apabila pentadbiran PH didapati tidak mahu menjaga kebajikan puluhan ribu pemandu teksi di negara ini bahkan jauh lebih teruk berbanding zaman BN dahulu.
Lebih malang lagi, PH awal bulan ini mewujudkan pula Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai usaha penjenamaan semula imej Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan pada akhir Mei lalu.
Justeru, kisah sedih dimuat naik netizen tempatan yang hanya mahu dikenali Mohd. Fadzil dalam akaun sosial baru-baru ini mendedahkan ramai pemandu terbabit kesal dengan tohmahan jahat dimainkan oleh PH sebelum PRU itu.
Catatan tersebut membongkar banyak faedah ditawarkan kerajaan BN sebelum ini langsung tidak dihargai dan lebih teruk, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dihina mereka kerana kononnya mahu undi 80,000 pemandu teksi terbabit.
Baca: Badan Teksi Tuntut Kerajaan PH Tegas Haram Grab
Berikut ialah nukilan Mohd. Fadzil bercerita pengalaman dirinya itu dengan seorang pemandu teksi yang turut tular dalam kalangan pengguna Facebook dan kemudian dikongsi ribuan netizen sejak Hari Raya Aidilfitri minggu lalu:
Aku ada cerita sewaktu berangkat pulang selepas empat hari kejatuhan BN. Aku menggunakan khidmat teksi untuk mengangkat segala peralatan desktop aku menuju ke KLIA2 di Sepang, Selangor.
Datang sebuah kereta Proton Exora yang terlekat stiker TEKS1M. Naik je kereta, aku disambut dengan perkataan “Selamat Malaysia Baru”… Aku tersenyum sambil duduk, tanpa balas ucapannya.
Tapi aku terlintas di kepala sesuatu “Mmm… Ini kali kau siap!”
Aku mula bersuara “Apa harapan abang dengan kerajaan baru.”
Dijawab pemandu “Kali ini habis budak-budak GRAB & UBER!
“Abang yakin ke Mahathir akan memansuhkan GRAB & UBER!
“Ehh…kenapa tidak yakin pulak.”
Aku tanya lagi “Kerajaan BN tidak pernah bantu teksi ke selama ini!
“Huh langsung tak bantu.”
Tersenyum panjang aku dan aku bagi bidasan pertama “Habis abang beli teksi ini di bawah skim “TEKS1M” bukankah abang dapat skim pinjaman mudah tanpa pendahuluan daripada BN.
“Itu belum abang sudah buat tukaran empat tayar percuma pada tahun kedua.”
Abang teksi itu mula tersenyum sumbing!
“Bang, seingat saya untuk 2018, Najib dah beri Kad Bantuan Teksi RM800 sampai berebut-berebut bergaduh-gaduh antara pemandu teksi yang datang ambil ketika itu dan dapat kelayakan automatik menerima BR1M!
“Malah BR1M telah upgrade daripada RM400 kepada RM800 untuk bulan Ogos dan Jun 2018. Bermakna abang layak terima RM2,000 keseluruhannya.”
Hujah ini buat abang teksi duduk tidak diam sambil perbetulkan kedudukan di tempat teksi! Dalam hati aku bersuara ‘Hey bang! Kerusi tu ada pijat ke?’ lalu aku sambung lagi!
“Tak silap saya ada 10 peruntukan yang saya terlupa, tapi abang dapat bukan. Ini bukan bantuan daripada BN ke?”
Antaranya ketika itu:
1. RM520 subsidi tayar kepada pemandu teksi di seluruh negara
2. RM1 juta peruntukan insurans peribadi TR1MA 1.0
3. RM1,000 skim bantuan penukaran teksi bagi kenderaan kurang 10 tahun
4. RM2 sahaja kos cukai jalan untuk pemandu teksi
5. RM200 juta peruntukan pinjaman pembelian teksi secara individu
6. RM35 juta sebagai keseluruhan peruntukan TEKS1M
7. RM5,000 geran beli kereta kepada pemandu mahu menukar e-hailing
Terkejut pemandu teksi tengok aku tahu hal teksi! Lalu ditanya aku kerja mana kerana tahu semua ini dan aku jawab: “Saya kerja sendiri je, bang tapi saya rajin membaca!
“Tapi bang masalah teksi! Setahu saya bukan masalah Kerajaan BN! Malah masalah ini punca daripada zaman Mahathir lagi yang orang-orang teksi buat-buat tidak ingat!”
Abang teksi itu jawab “Mana ada!”
“Betul lah bang tak ingat? Setahu saya masalah teksi kerana kepala-kepala teksi yang dilantik atas kapasiti politik pada zaman Mahathir! Bukan? Sampai sekarang abang kena bayar ufti setiap hari kepada mereka.
“Ia antara RM25 hingga ada sampai RM50 sehari, betul tak?”
Berkerut dahi sambil pemandu teksi menganguk kepala! “Abang tahu kenapa Datuk Nancy Shukri dan SPAD ditugaskan untuk selesaikan masalah teksi?”
Abang teksi sudah mula tidak berasa selesa, lalu aku sambung jee…
“Sebab, Najib hendak hapuskan orang tengah yang kerja makan ufti! Abang fikir ketua-ketua kumpulan teksi yang beratus-ratus di Malaysia ini berjuang untuk teksi ke atau berjuang untuk pertahankan duit ufti?”
“Tak mereka ini bagus, mereka jaga kawasan kami cari makan,” jawab pemandu teksi itu.
“Cerita bab kawasan cari makan bang! Saya nak tanya abang! Kalau abang dapat penumpang di KL minta hantar ke JB kerana kecemasan! Abang boleh ambil penumpang dari JB untuk ke KL tak?”
“Tak! Mana boleh kawasan orang, mana nak boleh suka-suka kacau! Dan kat mana nak cari penumpang yang hendak ke KL,” jawab pemandu teksi itu lagi.
“Haa tahu pun! Sebab itu kerajaan perkenalkan e-hailing supaya abang tidak ada sempadan untuk cari penumpang, abang boleh dapat penumpang kepada dua hala.
“Abang hanya bergantung kepada satu operator yang caj abang 1% perkhidmatan berbanding abang nak kena bayar sampai RM50! Ini abang kata kerajaan BN zalim ke? Atau kepala kumpulan teksi yang hasut kata BN zalim?”
Abang teksi cuba pusing cerita: “Masalahnya GRAB dan UBER curi hasil kami.”
Aku segera jawab: “Bang, masalah UBER dan GRAB itu bukti kerajaan hendak buka pasaran tanpa kepala pengaut ufti itu, bang! Bang tahukan Nancy dan SPAD sedang berunding untuk perkhidmatan yang lebih baik!
“Setahu saya ada usaha melabelkan dua kategori pemandu sahaja iaitu pemandu sepenuh masa bagi pemegang lesen teksi individu untuk mendapat manfaat berhenti dan menunggu di kawasan KLIA contohnya!
“Dan pemandu sambilan yang tiada lesen teksi tetapi tidak mendapat pelbagai keistimewaan daripada pihak kerajaan yang diumumkan setiap tahun termasuk zon khas bagi teksi boleh menunggu penumpang!
“Malah SPAD sudah bawa benda ini, dah berpuluh kali cuba berunding dengan kumpulan-kumpulan teksi tetapi masalahnya ketua-ketua teksi ini hanya mahu menuntut hak ufti mereka!
“Bang zaman dah berubah! Zaman sekarang orang lebih suka turun tangga dah ada pemandu tunggu, malah keluar KLIA pun dah ada pemandu tunggu! Dan penumpang rasa mereka tidak ditipu.
“Sejujurnya bang! Saya nak tanya abang rasa kenapa penumpang suka guna UBER dan GRAB,” aku bertanya.
Abang teksi pura-pura tidak tahu kerana tak mahu jawab!
“Saya cuma nak cakap siap sedia nak kena kencing dengan Mahathir!”
“Kenapa?” abang teksi itu pula tanya!
“Kerana pemandu teksi itu pengundi malah pemandu GRAB dan UBER pun pengundi! Abang fikir masalah teksi je Mahathir nak kena fikir? Lagipun sekarang ini kerajaan DAP tak hairanlah dengan pemandu teksi!”
Aku buka cerita lebih jauh daripada subjek teksi iaitu berkisar apakah nasib Melayu Islam di bawah kerajaan Mahathir yang sebenarnya sekadar jadi boneka kepada DAP.
“Minta maaf bang saya terkasar sikit! Tapi abang tengok nanti betul tak cakap saya tu!”… Aku akhiri penutup “Berapa tambang saya bang?”….
#FaktaBukanAuta #MahathirBapaMalapetaka #PakatanHipokrit #MahathirBonekaDAP #RinduZamanNajib
*Video bawah sekadar hiasan…