KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan telah memeriksa sebanyak 10,110 barangan daripada 337 premis di seluruh negeri sejak 24 Mei hingga Khamis lepas.
Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Kelantan Mohd Fauzi Mamat berkata pemeriksaan itu dibuat sempena Op Catut Fasa I yang bertujuan memastikan peniaga mematuhi penurunan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada sifar peratus berkuat kuasa semalam.
“Peniaga diberi tempoh hingga 30 Jun untuk menyelaras penandaan harga dan dokumen berkaitan penurunan kadar GST serta tidak dibenar sama sekali menaikkan harga barangan secara tidak munasabah,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan harga barangan di sebuah pasar raya di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata Op Catut Fasa II yang bermula semalam akan dilakukan hingga 30 Jun ini bagi mengesan mana-mana peniaga yang ingkar dengan pengurangan GST kepada kadar sifar peratus.
Beliau berkata peniaga yang ingkar akan berdepan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Katanya jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala denda RM500,000 bagi pertubuhan. – BERNAMA