KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak menerima 47 aduan pengguna berkaitan harga barang dan kegiatan catut dalam kalangan peniaga sejak pihaknya meningkatkan pemeriksaan ke premis perniagaan pada 24 Mei lepas.
Aktiviti pemeriksaan mulai ditingkatkan KPDNKK Sarawak sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Op Catut 4.0 yang digerakkan khusus bagi menyiapkan peniaga ke arah mematuhi keputusan kerajaan mengenai pengenaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) enam peratus kepada sifar peratus mulai 1 Jun.
Pengarahnya, Datuk Stanley Tan berkata menerusi Op Catut 4.0 itu pihaknya telah memeriksa 22,834 premis perniagaan dan mengambil tindakan terhadap 183 kes mengenai pelbagai kesalahan yang berkaitan dengan perniagaan.
Beliau berkata antara tindakan yang diambil termasuk merampas barang dagangan bernilai RM324,016 dan mengenakan kompaun RM20,000, di samping mengeluarkan 29 amaran kepada peniaga yang tidak mematuhi pelbagai arahan.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan salah laku peniaga supaya menghubungi Pejabat KPDNKK dengan menelefon talian bebas tol 1-800-886-800 atau email ke e-aduan@kpdnkk.gov.my. – BERNAMA