SETELAH beberapa ketika dirinya dibayangi dengan kontroversi hangat, kini pelakon Iqram Dinzly berasa bertuah apabila pada 10 malam terakhir Ramadan lalu, dia dapat menemui dirinya yang sebenar ketika berada di Pantai Timur.
Ketika berada di sana, Iqram berkesempatan bertemu dengan beberapa individu berilmu serta bertukar pandangan bagi memberinya keyakinan untuk memulakan kehidupan baharu.
“Alhamdulillah, kembara di dua negeri itu pada akhir Ramadan lalu memberi nafas baharu dalam hidup. Saya temui semula diri yang dahulu dan kembali jalani hidup seperti manusia normal lain.
“Di Kelantan, saya bertemu mereka yang berilmu untuk bertukar pandangan. Saya juga ambil peluang untuk gali ilmu perniagaan disebabkan saya turut menjalankan bisnes sendiri.
“Mungkin ini yang dikatakan rahmat bulan mulia. Di Terengganu pula, saya memenuhi undangan untuk menjayakan satu acara. Di situ, saya bertemu semula peminat selepas lama menyepikan diri.
“Itu yang membuatkan saya kembali bersemangat untuk memulakan hidup baharu,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Sekitar tahun lalu, nama Iqram hangat diperkatakan akibat mencetuskan polemik apabila dia telah memuatnaik banyak rakaman yang menunjukkan dirinya berpelakuan pelik di media sosial sejurus selepas kematian bapanya pada Oktober lalu.
Oleh itu, dia telah menerima banyak kecaman daripada netizen dan menganggap dirinya persis seperti seorang yang tidak waras.
“Saya tidak gila, cuma bersikap gila-gila. Alhamdulillah, semuanya sudah kembali seperti asal dan ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan lalu,” tambahnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Dunia Baru itu turut mengambil kesempatan untuk menghilangkan diri buat seketika selepas insiden berkenaan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan baju jenama Prinxchiqy Dinzly.
Sebagai pelakon juga, Iqram mengakui bahawa dia amat merindui untuk beraksi di hadapan lensa kamera.
“Gaya pakaian itu bukan merapu atau aneh, sebaliknya ia adalah terjemahan karakter fantasi yang ingin saya realisasikan dalam dunia seni. Kesedaran ini wujud atas gerak hati sendiri, bukan perancangan yang sengaja disusun untuk meraih perhatian.
“Saya tahu, peminat turut merindui lakonan saya. Tetapi, apa yang berlaku dahulu membuatkan ramai menyangka saya sudah tidak waras menyebabkan peluang berlakon turut menjauh. Ada rezeki saya mahu berlakon semula,” ujarnya lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH