NEW DELHI – Seorang lelaki cedera selepas telefon bimbit dalam poket bajunya meletup, dalam satu kejadian di sebuah restoran di Maharashtra, barat India, lapor agensi berita Xinhua pada Rabu.
Insiden berlaku pada Isnin ketika lelaki berkenaan sedang makan tengah hari di sebuah restoran di Bhandup di Mumbai ibu negara Maharashtra.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” kata seorang pegawai polis.
Pegawai itu berkata, pihaknya sedang menyiasat untuk mengenal pasti jenama dan syarikat yang mengeluarkan telefon bimbit tersebut.
Pada Mac tahun ini, di negeri Odisha seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas telefon bimbitnya meletup ketika sedang digunakan. Mangsa dikatakan menggunakan telefon yang sedang dicas. – BERNAMA