WARSAW – Seorang doktor veterinar Poland terkejut ketika menyambut kelahiran seekor anak lembu mutan yang berkepala dua di sebuah ladang dekat sini baru-baru ini.
Karolina Szarowska berkata, dia terkejut semasa membantu ibu lembu berkenaan untuk melahirkan anaknya di sebuah ladang di perkampungan Kowalewo Pomorskie.
Dia kemudian memuat naik beberapa gambar mengenai haiwan luar biasa itu di media sosial.
“Anak lembu jantan berkepala dua. Bagi bantu haiwan ini masih hidup, ia adalah satu tindakan ajaib. Ibunya selamat selepas harungi kelahiran sukar ini. Kedua-dua kepala anak lembu itu dilihat mampu hisap susu ibunya,” katanya.
Bagaimanapun, menurut penternak haiwan itu yang enggan dikenali mengesahkan ia telah mati beberapa jam selepas dilahirkan.
“Ia merupakan kelahiran keempat lembu itu dan ini bukan kali pertama lembu berkenaan mengalami masalah kecacatan kelahiran.
“Anak pertamanya dilahirkan dengan organ dalaman di luar badan dan malangnya, ia telah mati. Saya amat berharap anak lembu ini hidup tetapi ia juga telah mati,” katanya. – Agensi/Kosmo Online