PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti hilang arah sejak kebelakangan ini dan menyatakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersamanya dalam kerajaan.
Beberapa isu yang diperjuangan seperti penghapusan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggap sebagai retorik semata-mata apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu melaksanakan janji manis tersebut kepada rakyat.
Malah, tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kerajaan baru-baru ini, Mahathir mengaggap hanya kesalahan kecil dan tidak perlu dibesar-besarkan.
Di manakah peranan Mahathir sebagai pemimpin Melayu dan Islam malahan langsung mengapa tidak memperjuangkan bahasa kebangsaan sendiri?
Tidak sekadar itu, perdana menteri dengan usia paling tua di dunia itu mula menyatakan bahawa Anwar tidak lagi bersama-sama dengan kerajaan.
“(Anwar) seperti orang lain, dia boleh ulas – buat apa saja komen. Dia bukan dalam kerajaan,” katanya dalam wawancara dengan stesen Channel News Asia.
Beliau berkata demikian merujuk kepada teguran Anwar tempoh hari kepada Guan Eng agar menyerahkan tugas bongkar salah laku dan penyelewengan pentadbiran lalu kepada menteri atau agensi lain kerana menurutnya statusnya sebagai menteri kewangan adalah sensitif.
Anwar juga turut menyarankan menteri kewangan itu memberi keutamaan terhadap usaha menenteramkan serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Tanpa ambil masa yang lama, Guan Eng terus bidas teguran Anwar, bukan sahaja ‘keras kepala’ berpegang dengan pendiriannya malah jawapan Guan Eng seolah-oleh perli Anwar yang mengatakan beliau bukan perdana menteri untuk buat keputusan.
Tidak sekadar itu, Mahathir dikira lebih berpihak kepada Guan Eng dengan menyatakan kerajaan akan tetap dengan keputusannya sebaik Kabinet mencapai persetujuan.
“Mereka yang tiada dalam kerajaan boleh beri komen. Mereka boleh kata apa saja, tetapi kami adalah kerajaan,” ujarnya lagi.
Adakah Mahathir lupa jasa PKR yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjadi perdana menteri? Mengapa pemimpin DAP pula yang sibuk dipertahankan?
Pandangan Mahathir dan Anwar yang jauh berbeza dalam beberapa isu sudah pastinya menimbulkan babak ketidakstabilan Kerajaan PH itu sendiri.
Tambahan pula, belum tentu lagi Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar kerana masih tiada kata putus bilakah ketua pemimpin negara itu melepaskan jawatannya. – MYNEWSHUB.CC