AIR adalah unsur yang sangat penting dalam tubuh manusia kerana 70 peratus tubuh manusia mengandungi air dan kebergantungan manusia terhadap air lebih tinggi berbanding makanan.
Mengikut fakta, manusia mampu hidup selama tujuh hari tanpa makanan tetapi tanpa air manusia hanya mampu bertahan antara dua hari hingga lima hari sahaja.
Jadi, manusia perlu mendapatkan secukupnya air panas dan air sejuk bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.
Menurut portal Berita Mediacorp, terdapat manfaat di antara air panas dan air sejuk mengikut keadaan tertentu yang boleh anda nikmati.
Perubatan Cina lama dan Ayurveda berpendapat, minum air suam pada waktu pagi mampu mengaktifkan sistem penghadaman, mencegah sembelit dan merangsang aliran darah ke bahagian usus.
Selain mampu mencegah jerawat dan masalah kulit, minuman air hangat membantu mengeluarkan toksin dari tubuh sekali gus dapat membersihkannya dari badan manusia.
Perahan jus lemon dalam segelas air suam mampu membangkit rasa yang lebih menyegarkan juga menambahkan khasiat dalam minuman.
Bagi mereka yang mengalami masalah hidung tersumbat, minum air panas boleh membantu mengeluarkan lendir di saluran penafasan.
Tidak sekadar itu, apabila air panas mengalir dalam aliran darah, ia sekali gus berfungsi sebagai penghilang rasa sakit semula jadi. Suhunya yang panas membantu mengurangkan sakit pada sendi atau perut kerana haid.
Manakala, minuman air sejuk pula baik untuk tubuh tetapi perlu mengambilnya mengikut waktu yang sesuai.
Antaranya adalah waktu bersenam ketika suhu tubuh sedang meningkat, minuman air sejuk akan menurunkannya.
Tambahan pula, ketika waktu panas mesti sangat seronok menikmati air sejuk. Tidak ramai yang tahu, mengambil air sejuk pada waktu ini membantu menurunkan berat badan.
Melalui cara ini pembakaran lemak berlaku disebabkan metabolism tubuh meningkat apabila minum air sejuk.
Pun begitu, terdapat waktu yang dilarang mendapatkan air sejuk antaranya ialah semasa dan selepas makan kerana akan menyebabkan tubuh membuang banyak tenaga untuk meningkatkan suhunya.
Hal tersebut akan melambat pencernaan yang berhubung kait dengan masalah lemak pada perut.
Jadi, anda perlu bijak mengambil air panas dan sejuk mengikut keadaan yang sesuai supaya kesihatan anda lebih terjamin.
Pastikan diri anda mengambil air yang secukupnya ketika musim perayaan ini. –Â MYNEWSHUB.CC/MIZE