ST PETERSBURG – Gary Lineker menggelarkan Diego Maradona sebagai ‘bahan jenaka’ apabila legenda Argentina itu dirakam televisyen menunjuk dua jari tengahnya ketika meraikan gol kemenangan Marcos Rojo yang mengesahkan kelayakan mereka.
Ini bukan kali pertama Maradona mencetuskan kontroversi sewaktu Piala Dunia.
Beliau didakwa melakukan ‘aksi berbaur perkauman’ kepada peminat remaja Korea Selatan ketika Argentina menentang Iceland.
Dengan kedudukan 1-1 ketika perlawanan, Argentina dilihat hampir tersingkir apabila Victor Moses membatalkan jaringan awal Lionel messi namun jaringan saat akhir Rojo mengesahkan juara dunia dua kali itu ke pusingan kedua.
Selepas Rojo menjaringkan gol, penyiar utama kejohanan itu menunjukkan reaksi Maradona bersandar di balkoni di Stadium St Petersburg sambil menunjukkan dua jari tengah.
“Itu dia, Diego Maradona sedang meraikan gol,” kata Lineker.
“Saya fikir dia akan menjadi tumpuan media dengan meraikannya seperti itu tetapi saya bimbang dia hanya akan menjadi bahan jenaka.
“Dia sungguh mengecewakan dengan meraikannya seperti itu. Anda faham betapa dia sungguh gembira tetapi reaksi seperti itu… Biar betul, Diego?”
Bekas pertahanan England dan Manchester United juga tidak kagum dengan telatah Maradona.
“Kariernya sebagai pemain bola sepak sudah begitu cemerlang, malangnya dengan meraikan seperti ini hanya merendahkan dirinya.”
Argentina akan berdepan Perancis pada pusingan kedua Sabtu ini selepas melepasi Kumpulan D pada saat akhir. – Agensi