SEORANG penyokong UMNO, Rahmat Azim Abdul Azizi yang dikenali Mat UMNO sedia berundur bertanding jawatan Presiden UMNO, memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin.
Lapor Sinar Harian, Mat UMNO yang merupakan penulis blog rela bertindak demikian kerana yakin Khairy layak menduduki jawatan tersebut dan mampu memimpin UMNO.
“Sekiranya pencalonan saya ditolak, saya akan sokong Khairy sepenuhnya. Malah, kalau saya layak sekalipun dan diminta oleh Khairy untuk undur diri, saya akan lakukan.
“Bagi saya, tiada pemimpin lain yang berani bersuara ke hadapan kecuali Khairy. Apabila Khairy bertanding, inilah masanya untuk UMNO berubah dengan membawa suara golongan muda,” katanya hari ini.
Menurut Mat UMNO lagi, dia tidak mengetahui sama ada permohonannya diterima atau tidak kerana tidak menepati kriteria ditetapkan iaitu mesti pernah memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal.
Bagaimanapun, keputusan tersebut bakal diketahuinya hari ini.
Ketika ditanya mengapa mahu bertanding jawatan tersebut, Mat UMNO memberitahu mahu memulihkan parti UMNO yang dianggapnya sedang kacau-bilau.
“Sesiapa saja yang hantar borang pencalonan menunjukkan mereka serius untuk bertanding. Saya menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno dengan visi untuk memulihkan parti kerana tiada pemimpin yang berani ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, lima lagi calon lain dijangka akan bertanding jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah, Rosile Saat, Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin. – MYNEWSHUB.CC/MIZE