INI luahan dan warkah saya untuk muhasabah parti keramat melayu yang akan bersidang esok 30 Jun 2018. Selamat memilih pemimpin tertinggi dalam parti keramat tatkala pemilihan pemuda dan exco penuh dengan tangan ghaib.
Macam mana laungan pembersihan nak neutral?
Saya menulis kerana UMNO sangat dekat di hati. Mungkin kerana keluarga saya berasal daripada UMNO totok Melayu. Mak ayah nenek datuk pakcik makcik saya semua orang UMNO.
Tahniah kepada UMNO berkuasa selama enam dekad. Pertumbuhan ekonomi Melayu memang menyerlah.
Ekuiti Melayu naik DUA PERATUS dalam DUA PULUH TAHUN. Tanah rizab Melayu tinggal 12 peratus di Semenanjung dan tinggal 5 peratus di Kuala Lumpur. Sekangkang kera. Hutang rakyat naik lima kali ganda hingga RM800 billion dan hutang kerajaan RM1 trillion. Kelapan tertinggi di dunia. Majoriti Melayu gaji purata di bawah RM5,000, hampir 400,000 graduan menganggur adalah Melayu dan hampir 10,000 belia muflis pula adalah Melayu.
Hebat UMNO. Melayu kan gagah di nusantara.
UMNO perlu sedar. Di dalam dunia korporat, roh Melayu dan kekayaan Melayu terhakis besar dari pengurusan korporat dan GLC. Orang Melayu kini hanya menduduki 8% dari semua pengurusan swasta tanahair. Bahasa Inggeris didaulatkan dan Bahasa Melayu jarang sekali digunakan dalam mesyuarat rasmi.
Bahasa Cina diangkat tinggi. Hampir semua bank dan syarikat Cina, beli majalah surat khabar Cina di samping bahasa Inggeris. Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pau suara keramat orang Cina, adalah akhbar paling tinggi edaran dan keuntungannya di Malaysia. Syarikat akhbar ini juga menyumbang beratus juta ringgit untuk pendidikan Cina di Malaysia, melalui konsert amal bersama Carlsberg Malaysia dan syarikat-syarikat lain.
Sepuluh teratas orang terkaya adalah bilionaire Cina. 80 peratus francais, hotel mewah, bank, syarikat construction dan shopping mewah milik orang Cina. 90 peratus pelajar universiti swasta ternama adalah anak rakan-rakan cina kita. Di Amerika Syarikat dan United Kindom, bangsa Cina hanya menguasai sekitar 7% dari ekonomi. Di Malaysia, rakan Cina conquer 70 peratus ekonomi Malaysia. Tidak ada tempat lain di dunia di mana orang Cina minoriti mempunyai kuasa ekonomi yang begitu luas selain di bumi Malaysia yang sangat pemurah ini.
Beberapa pencapaian dan aksi UMNO yang boleh dibanggakan:
- Menganggap UMNO sebagai parti elitist dan batu loncatan untuk perkaya diri sendiri.
- Menjadikan bodek, ampu dan jilat sebagai budaya untuk mendapat perhatian khususnya di Perhimpunan Agung walaupun banyak penyamun di kalangan pemimpin.
- Menjadikan “warlord” sebagai budaya besar dalam UMNO. Bahagian ini aku punya. Cawangan ini kau punya. Tidak menerima ahli baru khususnya professional dan orang muda kerana khuatir mengancam kedudukan pemimpin yang sedia ada. Itu pasal tiada calon Menteri Besar untuk UMNO khususnya Selangor dan Johor walhal Selangor dan Johor penuh sesak dengan professional Melayu yang terpelajar, berbakat dan berkarisma.
- Membuat pekak dan tuli terhadap 1MDB dan gejala rasuah di mana kedudukan Malaysia di Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tahun 2017 terjatuh ke tahap paling teruk iaitu No.69 dari 180 negara, meletakkan Malaysia pada taraf paling korup sekali dalam sejarah negara di bawah pimpinan enam orang Perdana Menteri.
- Menggunakan bahasa tidak bertamadun kepada rakyat dan netizen seperti BANGSAT, BANGANG dan HARAM JADAH jika menolak nikmat yang diberikan kerajaan.
- Membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya tanpa debat dan menjadikan hari Rabu sebagai hari mengundi seolah-olah rakyat bangang tak baca surat khabar.
- Me-layukan sistem pendidikan di negara ini. Beza kaum Cina mendidik berteraskan survival dan cari makan. Ranking pendidikan (PISA) menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke 52 daripada 65 buah negara, kedua tercorot di Asia Tenggara termasuk di belakang Vietnam dan Thailand.
- Tidak ada semangat harimau. Selepas hilang 11 negeri, rata-rata ahli UMNO masih berkabung, meraban, meracau dan hilang akal. Banyak ketua-ketua UMNO yang mamai dan masih tersipu-sipu malu keluar rumah. Hakikatnya UMNO sudah susut 50 kilo berat badan selepas ditinggal rakan taulan. Walhal dulu melaung-laung “akan mempertahankan UMNO dan Putrajaya walau berkecai tulang dan bercerai jasad dari nyawa”.
- Menerapkan politik ekstreme di tangan Melayu. Saling maki memaki dan hasut menghasut sesama Melayu walaupun melaungkan slogan sederhana 1Malaysia.
- Mencipta lebih 1,000 NGO Melayu berdaftar yang tumbuh bagaikan cendawan di bawah UMNO. Semua mengaku memperjuang melayu.
- Kerajaan UMNO yang meluluskan lesen untuk berniaga. Lihatlah berapa kerat orang Melayu yang terlibat dalam perniagaan. Tak sampai 5 peratus.
- Mengenakan cukai baru walhal masyarakat Melayu rata-rata masih miskin dan belum bersedia.
- Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk benda tak masuk akal tetapi enggan mengkaji sejuta pendatang tanpa izin yang mencuri pekerjaan orang melayu dan menyebabkan berpuluh-puluh BANDAR DHAKA terbentuk di Malaysia.
- Mempolitikkan persatuan sukan negara termasuk bola sepak. Apa prestasi sukan yang membanggakan kita? Skuad Harimau Malaya hari ini berada pada tangga 178 dari 190 negara tercorot setaraf dengan Cambodia, Laos dan Cuba. Bagus.
- Membenarkan Perhimpunan Merah dengan ribuan umat Melayu, penuh dengan laungan keramat bangsa Melayu untuk menggertak kaum Cina. Belum pernah bangsa majoriti membuat perhimpunan besar-besaran. Bangsa majoriti Amerika, Korea, Jepun, Australia dan China tidak pernah berhimpun untuk protes dan menekan minoriti.
- Menjadikan budaya gengster sebagai gimik dan kempen politik. Pecah 100 botol arak, bertuala mandi seksi di bangunan kerajaan negeri, perli artis tak subur, bawa katil rumah urut dan mengancam meludah tangan bekas perdana menteri. Guru kencing berdiri murid kencing berlari.
- Akhir sekali, sering memutar lagu keramat melayu, Anak Kecil Main Api tetapi tidak menghayati seni kata. Lagu ini jadi hantu dan memakan diri UMNO sendiri.
Bumi dipijak milik orang, nenek moyang kaya raya, tergadai seluruh harta benda, akibat sengketa sesama kita, cinta lenyap di arus zaman….”
Selamat Bersidang UMNO selamat memilih pemimpin parti keramat sang bangsa.
Memang benar. Melayu menjadi bangsat jika UMNO hilang kuasa.
Tahniah dan terus kedepan UMNO.
Dato’ Dr. Nazri Khan
Pakar Ekonomi