KUASA Barat terdiri daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu di Eropah menggiatkan kempen memburukkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menjelang pemilihan presiden dan pilihan raya umum beberapa hari lagi.
Di media utama Barat seperti New York Times, Bloomberg, Economist dan banyak lagi, Erdogan diberikan gambaran buruk termasuk dilabelkan sebagai diktator dan pelbagai dakwaan lain yang sengaja diperbesarkan.
Ini bertentangan sama sekali dengan pendirian Barat sebelum ini yang mahu negara-negara Arab menjadikan Turki sebagai contoh pelaksanaan demokrasi dalam kerangka negara Islam moden.
Sikap pelik Barat pada masa ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh pendirian Turki yang semakin tidak selari dengan kepentingan Barat di rantau Asia Barat.
AS diperintah Presiden Donald Trump memberi sokongan kepada militia Kurdistan di pedalaman Syria tetapi dianggap sekutu kumpulan teroris Kurdistan di Turki.
Sokongan ini ditentang kuat oleh Erdogan yang dasar luarnya mahu memastikan kepentingan Turki tidak tergugat oleh aktiviti militan pemisah pemberontak Kurdistan.
Erdogan sekarang ini sudah diletakkan sebaris dengan pemimpin dilabel diktator seperti Kim Jong-un, Bashar al-Assad dan mana-mana pemimpin yang tidak sebulu dengan AS.
Dalam ulasan mengenai Erdogan, akan banyak digunakan istilah seperti diktator, pencabul kebebasan media, dan sindiran “sultan” yang menggambarkan kuasa tidak terbatas.
Sebahagian besar perubahan sikap Barat ini semakin jelas selepas perubahan sikap Erdogan terhadap Rusia.
Ini berlaku selepas cubaan rampasan kuasa pada 2016 yang didakwa Erdogan dilakukan oleh kumpulan Gulen yang disokong oleh Barat dan sekutu-sekutu.
Kerajaan Turki masih cuba membawa pulang melalui ekstradisi pemimpin-pemimpin gerakan Gulen di Barat, antaranya di AS dan Jerman.
Selepas cubaan merampas kuasa, Turki yang dipinggir mula memperbaiki hubungan dengan Rusia yang sebelum ini dimusuhi.
Erdogan sendiri memohon maaf dengan Presiden Vladimir Putin atas insiden jet pejuang Rusia ditembak oleh pesawat Turki.
Hubungan baik dengan Rusia berlangsung selari dengan pemulihan hubungan dengan Iran, satu lagi negara yang dimusuhi Barat.
Akibatnya, sekarang ini Erdogan teruk diserang di media Barat dengan bermacam bentuk ulasan yang negatif dan petikan pandangan-pandangan yang kritikal terhadapnya.
Pada masa yang sama, liputan dan ulasan yang lebih positif diberikan kepada parti-parti penentang Erdogan.
Apa yang berlaku di Turki ini menunjukkan bagaimana layanan Barat kepada mana-mana pemimpin atau rejim di dunia.
Semasa Barat merestui Erdogan, beliau diberi pujian melambung dan negara-negara Islam lain digesa mencontohi demokrasi cara Turki.
Apabila Erdogan mula menunjukkan sikap yang berbeza walaupun masih menjadi sekutu Barat, beliau dikenakan pelbagai tekanan.
Ini dilakukan oleh kuasa-kuasa Barat seperti AS secara konsisten terhadap mana-mana pemerintah yang menjadi sekutunya.
Hanya yang berterusan patuh dan mengikut segala kehendak AS akan dibela dan dipelihara, tetapi ini mengundang risiko tentangan dalaman pula.
Apa yang berlaku pada Erdogan ini perlu dijadikan satu contoh dan pengajaran terutama kepada pemimpin-pemimpin Islam di negara Islam. – Mynewshub.cc