REZEKI… Bayangkan dapat beli tiket perlawanan berharga RM700 tetapi dijual RM124 sahaja, namun begitulah tuah aktor tempatan, Luqman Hafidz ketika berada di bumi Rusia ketika ini,
Bertamu di negara terbesar di dunia itu sejak empat hari lalu, bintang utama filem epik Ola Bola, tersebut berkongsi pengalamannya melihat sendiri kemeriahan kejohanan Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung selama sebulan.
Lebih ceria, pengalaman julung kali rasai bahang demam bola sepak dalam acara berprestij dihangatkan lagi apabila Luqman mendapat bantuan seorang individu yang dipanggilnya sebagai Messi di bekas negara Kesatuan Soviet itu.
Hasilnya beliau yang pernah membawa watak komedi menerusi siri drama popular Mr. Tanda Soal itu dapat menonton aksi perlawanan Kumpulan D antara Argentina dan Croatia di Stadium Nizhny Novgorod semalam.
“Ketika menaiki tren menuju ke stadium tersebut, saya berbual dengan salah seorang daripada sekumpulan penyokong tegar Argentina yang mahu memberi sokongan secara langsung kepada skuad kebangsaan mereka.
“Secara kebetulan pula, mereka memiliki sekeping lebihan tiket perlawanan berkenaan kerana ada seorang rakan yang tiba-tiba tidak dapat ikut serta pada saat-saat akhir dan kemudian mereka mahu menjualnya kepada saya.
“Pun begitu, saya berpura-pura tidak cukup wang dengan harapan dapat membeli tiket berharga hampir RM700 itu pada harga lebih murah. Dengan mimik muka memohon simpati, saya buka dompet dan tunjukkan kepada mereka.
“Memang baki duit yang terdapat di dalamnya, hanya ada sebanyak 3,000 ruble (kira-kira RM188). Tetapi tidak disangka pula, mereka tetap menjual juga tiket tersebut, bahkan semurah 2,000 ruble (lebih kurang RM124) sahaja.
“Mereka kemudian menyuruh saya untuk menggunakan lebihan wang yang saya ada bagi membeli makanan,” kata beliau yang nyata teruja tidak terkata setelah memperoleh diskaun tiket perlawanan dengan amaun serendah itu.
Akui Luqman yang kini berusia 27 tahun, dia sebenarnya telah menyimpan wang tunai secara berasingan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelak dompetnya dicuri penyeluk saku di tempat sesak. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA