SEDIH… Lionel Messi memasuki terowong di Stadium Nizhny Novgorod dengan wajah kecewa, menyedari Argentina berdepan kemungkinan terkeluar awal daripada Piala Dunia 2018 Rusia.
Bintang Barcelona itu ditenggelamkan skuad Croatia yang lebih gagah dalam kekalahan 3-0, menyebabkan pasukan Amerika Selatan itu memerlukan beberapa keputusan lain untuk memihak mereka mara ke pusingan kedua.
Messi akan sambut hari jadi ke-31 esok, mungkin menyaksikan dia bermain untuk kali terakhir dalam Piala Dunia tanpa menang sebarang gelaran besar bersama skuad negaranya walaupun ada rekod gah dengan kelab Sepanyol.
Argentina kalah 1-0 kepada Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2014 pada masa tambahan dan kemudian kalah berturut-turut kepada Chile menerusi penalti dalam perlawanan akhir Copa America 2015 dan 2016.
Messi telah memberi bayangan sebelum berlangsung Piala Dunia kali ini bahawa dia akan bersara daripada pentas antarabangsa, selepas melakukannya pada tahun 2016 lepas sebelum tiba-tiba bertindak menukar fikiran.
Selepas gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika seri 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pertama Argentina di Stadium Nizhny Novgorod, Messi dijangka sepatutnya lebih menyerlah apabila bertemu Croatia.
Namun, itu tidak berlaku. Malah sebelum sepak mula lagi bahasa tubuhnya itu membayangkan bahawa dia begitu tertekan dengan harapan besar yang dipikulnya.
Messi kemudian hampir tenggelam punca sama sekali dalam perlawanan apabila hanya menyentuh bola sebanyak 20 kali pada babak pertama.
Kesilapan besar dilakukan penjaga gol Willy Caballero apabila menghadiahkan Croatia gol pendahuluan pada minit ke-53 menerusi sepakan lambung Ante Rebic.
Messi hampir menyamakan kedudukan dari jarak dekat tetapi rakan sepasukannya dengan Barca, Ivan Rakitic menghadang percubaannya.
Dia terdesak sehinggakan sekali-sekala turun ke bahagian pertahanan untuk mendapatkan bola tetapi berkali-kali terhalang oleh pemain-pemain Croatia.
Dua gol pada penghujung permainan menerusi sepakan Luka Modric pada minit ke-80 dan Ivan Rakitic 11 minit kemudian umpama belati yang menikam jantung Argentina dan peluang Messi.
Ini turut membuatkan pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu kelihatannya ditakdirkan untuk langsung tidak ada harapan bagi memenangi Piala Dunia.
“Realiti yang ada dalam skuad Argentina menyelubungi kehebatan Leo. Dia tidak dapat berbuat banyak kerana pasukan ini tidak serasi dengannya seperti sepatutnya,” kata jurulatih Jorge Sampaoli. – Agensi/Mynewshub.cc