INSAF… Tidak ingin terus dibelenggu rasa bersalah, seorang lelaki berusia 90 tahun sanggup memohon maaf atas kesilapan yang pernah beliau lakukan ketika masih remaja lagi.
Pihak berkuasa bandar Midvale di Utah, Amerika Syarikat (AS) menerima satu surat permohonan maaf dan sekeping wang kertas AS$50 (kira-kira RM200) daripada seseorang warga emas yang tidak dedah namanya.
Menurut pengirim, dia pernah curi papan tanda Stop (Berhenti) semasa zaman remajanya. Dalam suratnya, dia menulis bahawa kejadian berlaku “bertahun-tahun dahulu dan ketika masih belum matang”.
Pihak berkuasa tempatan kemudian memuat naik gambar surat kiriman lelaki misteri tersebut menerusi laman sosial Twitter, lapor stesen tempatan Fox News.
“Umur saya kini hampir 90 tahun, saya sedih tentang perkara yang saya lakukan ketika masih muda. Saya ingin diampuni Tuhan. Saya benar-benar minta maaf dan menyesali perbuatan saya,” kata pengirim..
Surat tersebut dikirimkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya Midvale di Texas. Pada akhir surat berkenaan, dia hanya menamakan dirinya sebagai “rakyat yang sangat menyesal”.
Menurut Fox News lagi, warga emas itu menyesali semua perbuatan salah yang dilakukan sepanjang hayatnya. Datuk Bandar Midvale, Robert Hale menjangkakan pencurian itu berlaku hampir 75 tahun dahulu.
“Beliau tidak hanya membayar AS$50 atas kesalahannya, tetapi juga perasaan bersalah yang membebannya selama 75 tahun,” kata pemimpin tempatan tersebut.
Para pegawai ingin ucap terima kasih kepada si pengirim tetapi mereka tidak ada alamatnya. Mereka berharap lelaki itu boleh memaafkan dirinya dan meneruskan kehidupan dengan tenang. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA