SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan ‘Food Bank’ bagi membantu masyarakat yang kurang bernasib baik, termasuk golongan gelandangan di negeri ini, dengan memberikan bantuan makanan serta keperluan peribadi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata usaha itu yang mendapat kerjasama Hotel Royale Chulan, Klana Resort Seremban, NSK dan Royale Sungai Ujong Club, akan mula digerakkan malam ini di sekitar Seremban sebelum diperluaskan ke daerah lain membabitkan 36 penerima.
Katanya usaha itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Mereka ini sebahagian daripada kita dan mereka harus diutamakan. Untuk permulaaan, kita akan jalankan Food Bank pada setiap hari Rabu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seremban dan YDP Majlis Perbandaran Nilai yang ketika ini dipegang oleh Datuk Abd Halim Abd Latif akan digantikan dengan individu lain yang akan diumumkan pada 1 Ogos ini. – BERNAMA