SOCHI – Jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez tetap memuji persembahan skuad kendaliannya yang tewas 3-0 kepada Belgium, semalam selain akan terus menggunakan corak permainan ‘kasar’ ketika berdepan England.
Berdepan Belgium yang dianggap antara calon pilihan juara di Piala Dunia Russia, lima pemain Panama dilayangkan kad kuning pada aksi pembukaan Kumpulan G itu.
Panama dijangka akan bergelut pada penampilan sulung di pentas Piala Dunia menentang pasukan di ranking tiga dunia itu tetapi mereka berjaya menghalang gawang mereka daripada dibolosi sehingga babak kedua.
Dries Mertens membuka tirai jaringan menerusi rembatan voley menarik sebelum penyerang Manchester United, Romelu Lukaku meledak dua gol bagi memastikan status Belgium.
“Ia adalah keputusan yang kami tidak boleh anggap sebagai positif kerana kami tewas 3-0 tetapi mereka mampu menang dengan jumlah gol lebih besar,” kata Gomez.
“Apabila kamu menimbang di mana pemain mereka beraksi dan di mana pemain kami bermain, perbezaannya tidak begitu ketara. Saya fikir kami melakukan kerja yang bagus.
“Sesetengah orang berfikir kami boleh tewas dengan tujuh gol tetapi ia hanya 3-0.”
Sebanyak 35 kesalahan kekasaran dicatatkan dengan lapan kad kuning dilayangkan buat kedua-dua pasukan tetapi tiada sesiapapun dilabel bermain dengan corak permainan yang kotor.
“Kami adalah pasukan yang amat tersusun, kami bermain dengan taktikal,” kata Gomez. “Kadang kala kami mungkin nampak kuat tetapi pasukan lain lebih sukar dan secara fizikal lebih kuat.
“Kamu tahu pasukan England amat kuat, mereka boleh bermain dalam tempoh 100 minit dan kami perlu berjuang dalam tempoh 90 minit untuk bermain di tahap yang sama dengan Eropah.” – Reuters