KOTA BHARU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri atau Pasar Tani Khas di 724 pasar tani di seluruh negara selama seminggu yang bermula Jumaat lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar berkata ia bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian untuk menyambut Aidilfitri pada hujung minggu ini.
“Pasar Tani Khas yang diwujudkan ini diharap menjadi pilihan utama kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan segar dan mentah seperti daging, ayam dan sayur-sayuran.
“Selain itu juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih juga ada dijual di pasar ini. Kita memberi jaminan barangan di sini adalah lebih segar, berkualiti dan dengan harga berpatutan berbanding di pasar raya dan kedai runcit sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Jimat Belanja Aidilfitri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah FAMA Kelantan, Mohd Ariffin Awang dan Pengarah Kanan Galakan Pasaran Dalam Negara FAMA, Mohamad Mustahapa Awang.
Mansor berkata program itu adalah bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melihat harga barangan diturunkan bagi mengelak membebankan rakyat serta mendidik masyarakat untuk berbelanja secara berhemah.
“Menerusi program ini, ia dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan pengguna antara lima hingga 20 peratus serta menggalakkan orang ramai berkunjung ke pasar tani,” katanya.
Selain itu, beliau berkata orang ramai juga diharap tidak bimbang atau membuat pembelian panik kerana barangan keperluan bersempena sambutan Aidilftiri kali ini adalah mencukupi.
Mengulas perkembangan sama, Mansor berkata RTC Tunjong mencatatkan nilai jualan tertinggi pada tahun lalu iaitu mencecah RM287 juta, menewaskan 11 RTC lain di seluruh negara.
Beliau berkata RTC Tunjong turut mencatatkan jumlah pengunjung paling ramai iaitu kira-kira empat juta orang bagi tempoh berkenaan. – BERNAMA