PEKEBUN Felcra Bendang Man, Sik, Kedah berhadapan situasi bahaya apabila terlibas ekor ular sawa seberat 50 kilogram ketika sedang menebas semak samun di kebunnya semalam.
Lapor Sinar Harian, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari membabitkan seorang pekebun yang hanya dikenali Mohd Yusuf menyedari berlaku suatu pergerakan dari semak semasa membersihkan kebunnya.
Dia cuba memeriksa keadaan tersebut dan didapati seekor ular sawa kekenyangan dengan ekornya terputus, lalu segera melaporkan kepada pihak berkaitan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik, Kapten Kapten (PA) Mohd. Mukhrij Md. Sabir berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.40 tengah hari dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.
Seramai empat anggota APM bergegas ke tempat kejadian bagi menangkap ular sawa sepanjang tujuh meter itu.
“Lelaki itu (pekebun) turut melibas ekor ular itu hingga putus namun mujur tiada apa-apa berlaku kerana ular itu yang kekenyangan tidak mampu bergerak.
“Ular itu dipercayai datang ke kawasan kebun itu untuk mencari makanan dan anggota APM mengambil masa 20 minit menangkap dan membawa keluar ular itu dari kawasan semak,” katanya.
Dengan bantuan penduduk kampung, anggota APM telah melepaskan semula hidupan reptilia itu ke habitat asalnya. – MYNEWSHUB.CC