BUTTERWORTH – Lima pekerja warga asing yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Kampung Bengali, di sini memberi alasan rumah sewa terlalu panas menyebabkan mereka terpaksa tidur di atas tilam di ruang tamu.
Selain itu bilik mandi yang ada juga rosak menyebabkan mereka terpaksa mandi di dalam tandas serta keadaan rumah yang tidak terurus tanpa kelengkapan almari dan katil.
Itulah hasil pemeriksaan penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang dalam Operasi Patuh (Op Patuh) ke atas sebuah rumah di kawasan itu yang dihuni mereka hari ini.
Pengarah JTK Pulau Pinang, Mohd Sazali Keteh berkata pihaknya mendapati majikan lima pekerja asing itu gagal mendisiplinkan mereka untuk menjaga tempat tinggal dengan sempurna.
“Keadaan itu melanggar Akta Kerja 1955 kerana gagal menyediakan tempat tinggal yang sempurna kepada pekerja mereka dan kami akan kaji tindakan yang boleh diambil terhadap majikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan Op Patuh, di sini hari ini.
Seramai 15 kakitangan JTK Pulau Pinang terlibat dalam operasi itu yang turut bertujuan memastikan hubungan baik antara majikan dan pekerja.
Mohd Sazali berkata dalam pemeriksaan hari ini sebanyak enam buah restoran diperiksa yang bertujuan memastikan majikan mematuhi undang-undang perburuhan yang tertakluk dalam Akta Pampasan Pekerja 1952; Perintah Gaji Minimum 2016; Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing selain Akta Kerja.
Beliau berkata sepanjang tahun ini sebanyak 35 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelanggaran akta di beberapa sektor seperti restoran, pembinaan dan perkilangan.
“Antara kesalahan yang dilakukan adalah berkaitan kerja lebih masa serta majikan gagal memberikan notis berkaitan pekerja asing kepada JTK. Semua kertas siasatan itu telah dirujuk ke ibu pejabat dan menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya sama ada melibatkan pendakwaan atau dikenakan kompaun,” katanya. – BERNAMA