AKAUN UMNO yang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sekali-kali dapat menghalang parti politik tersebut untuk terus bergerak.
Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sayap pergerakan parti tersebut akan menubuhkan sebuah tabung bagi mengisi dana untuk meneruskan pelbagai aktiviti UMNO.
Sehubungan itu, satu pertemuan khas bersama-sama dengan barisan Exco Pemuda UMNO bakal diadakan pada Isnin minggu depan bagi membincangkan perkara berkenaan.
Ujar Asyraf Wajdi, tempoh masa seminggu diperlukan bagi meneliti perkara tersebut sambil melihat tindakan pembekuan akaun UMNO di beberapa buah negeri oleh pihak SPRM.
“Saya tidak mahu rayu sehingga hilang maruah, namun ambillah kesempatan apa yang akan berlaku pada pekerja parti kerana mereka tidak bersalah sehingga gaji terpaksa ditangguh sebab akaun dibeku.
“Mereka (Pakatan Harapan) boleh gunakan kuasa untuk buktikan berlaku adil. Saya tidak kata tindakan itu salah di sisi undang-undang, cuma dari segi budaya baharu yang menjulang asas demokrasi kotakanlah janji berkenan.
“Namun begitu, kita sedar duit bukan segala-galanya kerana ia tidak akan halang api perjuangan Pemuda UMNO sebab itu banyak program telah dilakukan secara sukarela,” katanya kepada media sebelum mengadakan pertemuan bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Negeri di Kota Bharu, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi. Serentak itu, Asyraf memberitahu pihaknya berjanji melaksanakan konsep 5P dalam tempoh masa tiga tahun ini.
“Saya tidak berhajat bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya saya gagal melaksanakan agenda 5P dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.
“Kriteria memilih Ketua Pergerakan Pemuda di peringkat negeri juga tidak semestinya Islamik sebab itu saya perlu kenal mereka dengan lebih dekat.
“Ini kerana, UMNO ini dinamik kerana itu adalah kekuatan yang dimiliki selama ini. Malah, kepelbagaian itu juga perlu diraikan dalam merealisasikan agenda perjuangan,” jelasnya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi mengumumkan akan melakukan pengislahan melalui 5P iaitu pengkaderan, pentarbiahan, pengukuhan rohani, pembudayaan ilmu dan pembinaan jati diri untuk memacu perubahan.
Katanya, semua perkara ini adalah proses pembinaan semula generasi bagi memastikan UMNO dibekalkan dengan pewaris kepimpinan masa hadapan yang berkualiti dan berketerampilan. – Mynewshub.tv
*Video sekadar hiasan…