KUALA LUMPUR – Penduduk di Pantai Timur berharap projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang sedang dikaji semula oleh kerajaan baharu, akan diteruskan kerana ia akan membantu mengurangkan masa dan kos perjalanan.
Suraya Omar, ibu tunggal dari Kelantan yang kini berniaga di Subang Jaya berkata, keputusan kerajaan untuk melaksanakan projek ECRL memang dinantikan kerana banyak manfaat yang boleh dinikmati rakyat.
Projek gergasi bernilai RM55 bilion akan menjadi laluan kereta api terpanjang di negara ini. Apabila siap pada 2024, ia akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan, dengan merentasi Pahang dan Terengganu.
Projek itu dikaji semula kerana kosnya yang terlalu besar.
“Sekarang ini saya terpaksa ulang-alik hampir setiap minggu dengan kereta bersama seorang pekerja untuk tengok anak-anak yang tinggal bersama adik saya di Kelantan.
“Saya tidak mampu untuk berbelanja lebih dan naik kapal terbang. Lagipun lapangan terbang dengan rumah saya pun agak jauh.
“Tapi bila dapat tahu kerajaan nak buat ECRL, memang sayalah yang paling gembira. Ia memudahkan segala urusan. Kawan-kawan dan rakyat Kelantan yang berada di luar pun cakap benda yang sama.
“Saya harap kerajaan boleh pertimbangkan hasrat kami di Pantai Timur ini. Banyak faedah dan manfaatnya kepada masyarakat dan negara jika projek ini diteruskan,” katanya.
Perkara yang sama dinyatakan Mohd Faris Azmi, 33 tahun, anak kelahiran Pasir Puteh yang merupakan kakitangan syarikat swasta terkemuka di ibu negara.
Faris yang pulang ke Kelantan hampir setiap dua minggu untuk urusan kerja dan untuk menjenguk keluarga juga memberitahu, ECRL bukan sahaja memudahkan, namun menjimatkan masa.
“Walaupun ambil masa dua hingga tiga jam, itu masih memadai sebab kita tidak perlu memandu pun. Hanya duduk, rehat, makan dan sampai ke destinasi. Bagi mereka yang bekerja seperti saya, ketika berada dalam perjalanan begini sahaja kami berpeluang untuk rehat.
“Jimat masa, jimat wang, jimat tenaga dan boleh buka pelbagai lagi ruang ekonomi dan sosial dengan adanya ECRL ini. Rata-rata rakyat Kelantan suka berniaga dan mereka akan jadikan ECRL sebagai medium untuk bawa pelancong dari luar negara masuk ke Malaysia dan bantu tingkatkan ekonomi,” katanya.
Sementara itu pelajar sebuah institusi pendidikan tinggi awam di ibu kota, Fatin Syahirah Mohd Yusri berpendapat, dengan adanya ECRL, kadar nahas jalan raya akan menurun, terutama semasa musim perayaan.
“Dengan adanya ECRL, peratusan kemalangan akan berkurang. Ini amat penting kerana kesedaran orang ramai terhadap bahayanya memandu jarak jauh di Malaysia ini masih berkurangan. Rata-rata mahu pulang dan sampai cepat ke destinasi.
“Sikap yang sukar dibuang, malah semakin menjadi-jadi sehingga wujudnya samseng jalanan dan sebagainya. Budaya ini dapat dihakis jika wujud satu inisiatif lain bagi memudahkan perjalanan ke Pantai Timur.
“Kami sebagai bakal graduan juga akan mempunyai peluang yang lebih meluas dalam bidang pekerjaan. Ekonomi dan pelancongan negara akan terus berkembang dengan baik dan komunikasi dengan pelbagai negara boleh memakmurkan lagi Malaysia,” katanya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dalam sidang medianya sebelum ini menganggarkan tahun ini lebih satu juta kenderaan perantau akan masuk ke Kelantan melalui tiga laluan utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.
Pada 2016,Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan tahun menyatakan jangkaan tiga juta kenderaan pulang atau masuk ke negeri ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Namun jumlah tersebut semakin berkurangan dengan adanya pelbagai tawaran menarik melibatkan penerbangan yang terpaksa ditambah dari semasa ke semasa.
Malah tidak hairanlah jika Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu ini adalah antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia melibatkan penerbangan dari ibu negara dan beberapa negeri lain.
Disebabkan kesibukan itu juga, ramai yang meminta kerajaan memperbesarkan lagi lapangan terbang tersebut bagi menampung kapasiti ketibaan dan pelepasan setiap hari, sekali gus menjadikannya lapangan antarabangsa.
Bagaimanapun, sejauh mana keberkesanannya nanti, sedangkan masih ada lagi rakyat negeri ini yang tidak mahu menggunakan kapal terbang untuk membuat perjalanan mereka. Mereka mungkin mempunyai alasan tersendiri dan harus dihormati.
Bukan hanya itu sahaja, malah penduduk di Gua Musang dan hulu Kelantan memang tidak akan memilih pengangkutan tersebut kerana mengambil masa dua hingga tiga jam untuk sampai ke lapangan terbang.
Dengan itu ECRLdilihat lebih efisen berbanding pengangkutan lain, terutama apabila stesen-stesen dan laluan yang disediakan itu melibatkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, projek ECRL ini wajar diteruskan bagi faedah jangka panjang.
Menurutnya, ia secara tidak langsung dapat membangunkan ekonomi di Pahang, Terengganu dan Kelantan lebih kompetitif dari segi ekonomi dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.
“Dalam masa yang sama, ia dapat memberikan kemudahan kepada rakyat negeri tersebut untuk bergerak dengan lebih selesa serta dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, khususnya untuk pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
“Selain itu, kadar pelancongan akan dapat ditingkatkan pada masa depan kerana ketiga-tiga negeri tersebut mempunyai nilai pelancongan yang tinggi.
“Jadi dengan adanya ECRL ini boleh diibaratkan sebagai pelengkap kepada keseluruhan sistem pengangkutan darat yang ada di Malaysia. Justeru itu, kerajaan wajar meneruskan projek ini,” katanya. – BERNAMA