PETALING JAYA – Seorang penganggur dihukum penjara lapan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana merompak sebuah kedai serbaneka dan mencederakan pekerja kedai itu di Damansara, tahun lalu.
Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Sahrul Nizam Aini, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 22 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa merompak dan menyebabkan kecederaan ke atas pekerja kedai 7-Eleven, Saiful Ammar Hasmi, 25, di premis kedai serbaneka itu di Glomac Centro, Jalan Teratai PJU6A Damansara, pada 11 malam, 21 Mei 2017.
Pertuduhan dilaksanakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohoh mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tertuduh melakukan perbuatan rompak itu dengan ganas.
“Tindakan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan saya pohon mahkamah mengambil kira faktor keselamatan serta kepentingan awam melebihi kepentingannya,” katanya.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia sudah insaf selain perlu menanggung adiknya.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa sedang mengemas barang di dalam premis sebelum didatangi seorang lelaki bertopi keledar yang mengarahnya mengeluarkan wang daripada mesin penyimpan tetapi mangsa mengeluarkan sebatang kayu cota untuk menghalang tindakan lelaki itu.
Tertuduh kemudian mengeluarkan sebilah pisau daripada baju untuk menakutkan dan memukul mangsa sebelum melarikan diri dari kedai itu. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…