KUALA LUMPUR – Sekumpulan peniaga bazar tanpa lesen yang dikenali sebagai ‘peniaga rembo’ di Masjid India mendakwa kenyataan peniaga bazar diminta bayar sewa tapak adalah tidak benar.
Ketuanya, Mohamad Azman Abdul Rahman menafikan dakwaan para peniaga bazar di Masjid India diminta bayar sebanyak RM5,000 oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim seperti ditularkan sebelum ini.
Katanya, dia sendiri bersama-sama 10 peniaga lain yang memasang dan mendirikan khemah, selain membantu menguruskan tempat peniaga di sini.
“Saya yang bertanggungjawab memasang khemah dan panggil peniaga ini masuk berniaga dalam khemah. Bayaran lesen yang dikenakan DBKL juga telah diuruskan oleh Setiausaha Kerja Persatuan Peniaga Melayu Pasar Harian Selayang, Saiful Akmal.
“Tapak ini kita beri pada (peniaga) yang susah. Kami tidak meminta sebarang bayaran daripada peniaga, kalau ada sekalipun mungkin dari persatuan-persatuan lain yang cuba mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui di hadapan Masjid India, di sini, petang tadi.
Menurut Azman lagi, dakwaan yang wujud kononnya Noorhisyam mengambil duit sengaja ditimbulkan bagi mengelirukan perkara sebenar kerana wujud individu lain yang didakwa melakukan penyelewengan itu mempunyai nama sama dengan Noorhisyam.
Tambahnya lagi, sekitar 40 daripada 80 buah khemah peniaga bazar sahaja telah dipasang di sekitar kawasan Masjid India disebabkan peniaga food truck mengambil tempat mereka.
“Kami tidak dapat pasang kesemua khemah sebab food truck sudah ganggu kami. Mungkin ada sedikit masalah tapi tidak mengapa hanya itu sahaja rezeki kami.”
“Kami juga dapat berniaga lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kesemuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Azman berkata demikian ekoran terdapat laporan mendakwa Noorhisyam menjalankan aktiviti pengutipan duit daripada peniaga tersebut sehingga meminta setiap peniaga dari bazar di Jalan Masjid India membayar RM5,000.
Ahli politik itu juga didakwa menyalahgunakan hubungan politiknya untuk mendapatkan sejumlah 80 lot bazar dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Media melaporkan surat dari DBKL kepada Noorhisyam menunjukkan bahawa 80 lot bazar itu telah diluluskan selama sembilan hari dengan bayaran hanya RM6,238.
Turut terkena tempias Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun juga didakwa terlibat dalam penyalahgunaan pengaruh politik dalam kes yang sama. – MYNEWSHUB.CC